COVID-19: Terengganu Tingkat Usaha Kekang Penularan Melalui PKP Fasa Dua


KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan negeri dengan kerjasama semua pihak dan agensi-agensi barisan hadapan (frontliner) akan memastikan suasana kes COVID-19 di Terengganu  lebih terkawal dan dengan pelaksanaan baru Perintah kawalan Pergerakan(PKP) fasa dua ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya mahu Terengganu kekal dalam keadaan yang terkawal dan tidak ada kes-kes terpencil yang menyebabkan tindakan yang lebih drastik terpaksa ambil.

Jelasnya, pihak kerajaan negeri dengan kerjasama Menteri Kesihatan dan agensi-agensi pelaksana 'enforcement' seperti polis, tentera, dan lain-lain seperti RELA dan lain-lain akademi sedang berusaha dengan gigih untuk memastikan Terengganu dalam keadaan terkawal.

"Jadi buat masa ini, kita harap semua pihak mengambil perhatian yang serius.

"Mana-mana yang tidak perlu keluar daripada rumah mereka itu, haruslah berada di rumah dan tentunya kita faham bahawa ada persoalan-persoalan psikologi apabila berkurung dlm tempoh yg begitu lama, stress, ruang yang sempit dan sebagainya, jadi masing-masing kena ambil pendekatan sesama ahli keluarga," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI)selepas penyampaian cek sumbangan kepada Tabung Bantuan COVID-19 oleh Terengganu Inc, Konsortium KAJV Sdn Bhd dan Tenaga Nasional Berhad di Seri Iman, hari ini.

Justeru itu katanya, pastikan emosi terkawal, pastikan gunakan masa ini untuk menjalankan ibadah dan sebagainya dalam keadaan terkawal semuanya.

"InsyaAllah kita akan sama-sama menghadapi perkara ini sebagai satu pasukan rakyat negeri Terengganu.

"Dan kepada semua barisan hadapan, seluruh rakyat negeri Terengganu berdoa supaya mereka kuat semangat, mengikut semua prosedur, kita berdoa mereka dapat menghadapi tugas mereka dengan baik tanpa sebarang risiko-risiko yang boleh memberi keburukan kepada mereka," ujarnya.



Sumber: teganukita.net