Foto: Tengku Syamim Tengku Ismail |
KUALA TERENGGANU, 14 April - Tempoh penangguhan semua aktiviti masjid dan surau di Terengganu dilanjutkan sehingga 28 April ini, selari dengan keputusan Kerajaan Persekutuan melanjutkan jangka masa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, keputusan yang telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin itu turut terpakai kepada solat Jumaat dan solat fardhu.
Menurut beliau, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan turut perkenan sekiranya tempoh PKP dilanjutkan selepas 28 April ini, maka penangguhan aktiviti keagamaan di masjid dan surau dalam Negeri Terengganu diselaraskan sama dengan tempoh pelanjutan PKP yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan menzahirkan rasa dukacita atas kesulitan yang perlu dihadapi oleh rakyat jelata sehingga menyebabkan kehidupan harian terjejas disebabkan wabak COVlD-19.
"Baginda berharap supaya semua rakyat jelata bersabar dan terus berdoa lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pihak MAIDAM, hari ini.
Osman berkata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan turut berdoa agar semua rakyat jelata mampu menghadapi saat sukar ini dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.
"Dan baginda memohon kepadaNya agar wabak COVID-19 ini segera berakhir dan semua rakyat jelata berada dalam lindungan Allah S.W.T," ujarnya.
Sumber: teganukita.net