Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman. |
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman mengesahkan perkara tersebut melalui Pakej Rangsangan Terengganu Cakna fasa dua yang diumumkan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, baru-baru ini.
Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan beberapa lagi inisiatif bagi menjaga kebajikan rakyat Terengganu khususnya golongan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Menurut Nurkhuzaini, beliau sangat berterima kasih kepada YAB (Yang Amat Berhormat) Menteri Besar di atas langkah yang diambil tersebut.
"Kita merasakan ini adalah langkah yang sangat baik yang diambil oleh kerajaan negeri untuk meringankan beban usahawan-usahawan, peniaga-peniaga dan penjaja-penjaja kecil kita ke atas sewaan-sewaan premis ini dalam tempoh PKP.
"Ianya kerana sepanjang tempoh kawalan ini, sudah pasti akan menjejaskan teruk peniaga-peniaga kecil kita, jadi langkah menangguhkan bayaran itu sangat sesuai dengan keadaan semasa," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Tambahnya, beliau mengharapkan agar para usahawan dan peniaga yang menyewa premis-premis berkenaan menerima langkah kerajaan dengan penuh kesyukuran.
"Kerana dalam keadaan ketika ini menggambarkan kerajaan negeri merasa denyut nadi rakyat khususnya denyut nadi peniaga-peniaga kita yang terjejas akibat wabak COVID-19," jelasnya.
Sumber: teganukita.net