COVID-19 : Pekerja Kontrak Pengurusan Sisa Pepejal Terima Bantuan


Oleh : Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 13 April - Seramai 145 orang pekerja kontrak pengurusan sisa pepejal seluruh Kemaman yang melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, Kijal, Cukai dan Air Putih masing-masing menerima bantuan, kelmarin.

Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan & Alam Sekitar Majlis Perbandaran Kemaman, Siti Rahayu Mamat mewakili semua pekerja mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang telah menyampaikan sumbangan tersebut.

"Semua penerima ini terbahagi kepada pekerja kontrak kutipan sampah tong-tong awam untuk empat zon melibatkan 97 orang.


"Juga termasuk pekerja kontrak kutipan taman perumahan untuk 12 zon yang melibatkan empat orang pekerja bagi setiap zon.

"Mereka ini bekerja setiap hari dan tidak dibenarkan cuti tanpa alasan yang kukuh untuk memastikan pengurusan sisa pepejal berjalan dengan lancar," ujarnya ketika ditemui pemberita.

Menurutnya, beliau turut mengharapkan agar insentif yang diberikan oleh kerajaan negeri itu dapat memberi semangat kepada mereka yang juga beraksi sebagai 'frontliner'.

"Saya mengharapkan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik di dalam suasana negara yang sedang dilanda wabak jangkitan COVID-19 ketika ini.

"Majlis Perbandaran Kemaman turut menyediakan topeng muka dan sarung tangan kepada setiap pekerja.

"Manakala setiap lori yang digunakan oleh mereka disinfeksi setiap hari. Ini bagi memastikan keselamatan mereka turut terjaga dan terpelihara," ujarnya.

Kesemua mereka menerima bantuan berbentuk wang tunai, beras dan pelbagai barangan dapur yang disampaikan oleh Hanafiah Mat di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Cukai.

Sumber: teganukita.net