Ahmad Amzad. |
KUALA TERENGGANU, 1 April- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan terus memastikan usaha menangani pandemik COVID-19 oleh kerajaan berjaya dilakukan secepat mungkin.
Timbalan Menteri MOSTI, Ahmad Amzad Hashim melalui satu hantaran di laman Facebooknya menyatakan, pihaknya terus berperanan membantu setiap kementerian dan agensi yang berkepentingan untuk mengatasi masalah berkenaan.
"MOSTI semestinya akan menjadi tumpuan bagi segala usaha penyelidikan saintifik berhubung pandemik wabak Covid-19 ini dan menyelaraskan usaha di peringkat nasional dengan pelbagai kerjasama strategik rentas kementerian.
"Kita juga melihat beberapa perkara yang perlu disegerakan termasuk menggerakkan industri tempatan, menyegerakan proses bagi sumber - sumber yang diperlukan oleh pihak industri, digitalisasi, 'autonomous robotic', peralatan perubatan dan beberapa lagi keperluan penting yang harus disegerakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ( MITI )," tulisnya.
Beliau secara peribadi berharap, semua usaha dan koordinasi yang dilakukan dapat membantu menangani wabak Covid-19 daripada merebak dengan lebih teruk.
"Saya juga harap agar rakyat secara keseluruhan dapat membantu kerajaan dengan mematuhi arahan yang telah dikeluarkan terutamanya Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) yang telah pun memasuki fasa kedua, hari ini," katanya.
Sumber: teganukita.net