Grafik oleh - Khairulanuar Naim Mustafa. |
KUALA TERENGGANU, 8 April - Kerajaan Terengganu membenarkan empat jenis perniagaan beroperasi dua kali seminggu mulai semalam di sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir 14 April depan.
Kenyataan bertarikh 6 April itu memaklumkan, perkhidmatan dan perniagaan kedai baja, kedai hardware, kedai menjual makanan haiwan dan kedai menjual alat ganti kenderaan hanya dibenar dibuka pada hari Isnin dan Khamis bermula 7 pagi hingga 2 petang.
Menurut kenyataan itu, keputusan tersebut selaras dengan arahan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sementara itu, premis keperluan harian seperti pasaraya dan kedai runcit, premis kedai makan dan restoran (pandu lalu dan bungkus) serta farmasi atau kedai ubat boleh dibuka setiap hari pada pukul 7 pagi hingga 6 petang.
Turut dibenar beroperasi setiap hari adalah pasar awam (7 pagi hingga 12 tengah hari), pasar borong (3 pagi hingga 9 pagi), klinik swasta (7 pagi hingga 9.30 malam) dan pusat pembaikian dan servis kenderaan (9 pagi hingga 2 petang).
Di samping, perkhimatan isian petrol dan diesel dibuka pada pukul 7 pagi dan ditutup jam 8 malam setiap hari.
"Kedai serbaneka di stesen minyak pula dibuka pada waktu yang sama tetapi ditutup 6 petang," ujar kenyataan itu.
Manakala, kompleks perniagaan, gerai makan tepi jalan, penjaja beredar, pasar malam, pasar pagi dan pasar tani tidak dibenarkan beroperasi sepenuhnya.
Sumber: teganukita.net