COVID-19: Agihan Bantuan Perlu Adil, Jangan Pilih Kasih-MB

Pengerusi  MPKK KG Losong Masjid Kuala Terengganu,  Wan Musa Wan Endut menyampaikan bantuan makanan kpd warga emas,  Nong Ali


KUALA TERENGGANU, 2 April-Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan bahagian pelaksana diseru supaya bertindak dengan adil dalam proses pengagihan bantuan COVID-19 kepada golongan yang terkesan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bantuan perlu diberikan kepada golongan yang memerlukan pada waktu ini.

"Saya sebenarnya, pada peringkat awal lagi saya telah menyeru kepada semua pihak termasuklah bahagian pelaksana, MPKK dan sebagainya supaya kita harus bertindak dengan adil.

"Kita ada pelbagai kategori dalam masyarakat yang memerlukan bantuan tidak mengira dari parti mana, daripada latar belakang mereka sebagaimana virus ini juga tidak kenal dari parti mana, daripada org mana, bangsa mana, agama mana, semua itu tidak kenal.

"Jadi, begitulah juga kita, semua pihak terutama yang menyampaikan bantuan ini tidak boleh sesekali pilih kasih dan haruslah bertindak adil,"ujarnya.



Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI)selepas penyampaian cek sumbangan kepada Tabung Bantuan COVID-19 oleh Terengganu Inc, Konsortium KAJV Sdn Bhd dan Tenaga Nasional Berhad di Seri Iman, hari ini.

Tambahnya lagi, mereka yang perlu diberi bantuan tanpa mengira apa latar belakang, warna kulit, agama dan sebagainya.

"Ini adalah perkara asas yang sangat penting yang kita kena tunjukkan, perbezaan kita di negeri Terengganu ini berbanding dgn negeri-negeri yang lain ataupun di tempat-tempat yang lain diseluruh dunia,"katanya.

Sumber: teganukita.net