KUALA TERENGGANU, 23 April -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan bahawa bekalan keperluan makanan harian di negara ini mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan sehingga sembilan bulan.
Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya telah bermesyuarat dengan kementerian-kementerian yang berkaitan termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) dan laporan yang diterima menyatakan stok yang ada mencukupi.
"Alhamdulillah, setakat ini stok pertanian yang ada sehingga sembilan bulan begitu juga dengan harga seperti ayam dan sebagainya pun mencukupi.
"Saya difahamkan mereka telah membuat segala persiapan untuk raya, telur ayam dan sebagainya tapi ia terganggu kerana COVID-19.
"Jadi, rakyat tak perlu bimbang tentang hal makanan kerana ia cukup dan insyaAllah kerajaan Malaysia tidak akan kebuluran walaupun berlaku wabak ini,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah meninjau stok barang sempena menyambut bulan Ramadan di Pasaraya Mydin Kuala Terengganu, hari ini.
Tambah Rosol, KPDNHEP Terengganu telah mengadakan keseluruhan pemeriksaan di seluruh premis di bawah penguatkuasaan negeri.
"Sebanyak 2341 penguatkuasaan ataupun pemantauan dibuat oleh pegawai-pegawai kita di seluruh negeri dan sehingga ini kita mendapat sebanyak 112 aduan.
"Ini maklumat diberi oleh KDHNEP negeri Terengganu dan aduan ini kita siasat berdasarkan merit, data atau detail aduan yang diberi.
"Jadi, kita berharap masyarakat pengguna jika ada masalah tentang harga barang, masalah tentang kekurangan barang atau apa sahaja boleh mengadu atau bertemu dengan pegawai-pegawai kita yang berada, bekerja sepanjang masa, setiap hari di lapangan," katanya.
Sumber: teganukita.net