Bantuan COVID-19: Beri Bukti Jika Ada MPKK Pilih Kasih

Sebahagian petugas DUN Kota Putera bersiap sedia untuk mulakan penagihan bantuan kepada penduduk yang layak

BESUT, 1 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, menafikan isu yang di viralkan di laman sosial yang menyatakan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mengagihkan borang bantuan COVID-19 secara pilih kasih dan diberikan kepada parti-parti tertentu sahaja.

Beliau berkata zaman pemikiran itu telah berlalu kerana pada peringkat awal pelantikan MPKK telah diberi penekanan supaya tidak berlaku masalah ini.

"Dari mula pelantikan, saya telah menekankan kepada MPKK supaya jangan pilih kasih, jangan pilih bulu kerana orang yang layak akan dibantu.

"Jadi di sini saya tekankan, kepada yang berfikiran sebegitu, kepada yang sedang menviralkan atau  'keyboard warrior' yang sedang menulis tolong dapatkan senarai terperinci MPKK mana, kawasan mana dan kampung mana jika ia berlaku.

"Jika dalam kawasan DUN Kota Putera, boleh terus serahkan kepada saya senarai tersebut.

"Saya tak mahu lagi diviralkan dengan kata-kata, bagi puak dia..bagi puak dia sedangkan bukti tidak ada.Jadi bagi yang ada bukti tolong ambil nama MPKK tersebut dan hantar bukti itu  dan saya akan ambil tindakan sewajarnya bila ada yang layak tetapi tidak diberikan," ujarnya dalam satu kenyataan di laman sosial rasminya semalam.


Tambahnya lagi. buat masa sekarang bantuan adalah terbatas dan ada yang belum sampai lagi.

"Bagi penduduk Kota Putera, insha Allah sekarang ni MPKK dan pengerusinya sedang bertungkus lumus untukmendapatkan senarai- senarai rakyat yang terkesan dengan arahan PKP ini.

"Saya mengucapkan terima kasih banyak atas usaha yang dijalankan dan juga kepada rakyat yang masih menanti bantuan dan jika layak, bantuan akan sampai ke rumah mereka dari semasa ke semasa," ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri.

Mohd Nurkhuzaini berkata, beliau
 tidak mahu lagi persepsi rakyat dimainkan atau dimomokkan oleh mereka yang tidak jujur sedangkan dalam pemerintahan sekarang, akan membantu sebaik mungkin mereka yang layak dan bukannya penyokong mana-mana parti.





Sumber: teganukita.net