Tertukar Kasut Di Masjid


SOALAN:
Ketika saya keluar selepas solat di sebuah masjid saya dapati kasut saya tidak ada. Bolehkah saya ambil kasut yang ada di situ kerana selepas saya tunggu saya dapati sudah tiada seorang pun yang masih ada dalam masjid. Dan ada sepasang kasut yang diletakkan di situ yang mungkin tuan kasut itulah yang mengambil kasut saya? Bagaimana pula kalau kita yang terambil kasut orang lain kemudian tidak dapat menemui tuannya untuk dipulangkan?

JAWAPAN:
Jika kita tidak tahu kasut siapakah yang tertinggal di situ maka kita tidak boleh mengambilnya atau memakainya.

Berkata Syeikh Bujairimi:

فرع من ضل نعله فى مسجد ووجد غيره لم يجز له لبسه
“Barangsiapa yang hilang seliparnya pada masjid dan mendapati ada selipar yang lain maka tiada harus ia memakainya.” (Bujarimi ‘Alal Al-Khatib)

Jika kita pula yang terambil kasut orang maka wajib pulangkan semula kepada tuannya dan jika tidak berjumpa tuannya maka jadilah hukumnya seperti barang temuan iaitu hendaklah diumumkan selama setahun supaya datang tuannya menuntut kasutnya itu.

Tersebut pda kitab Bughyat Al-Murtassyidin:

فا ئدة من اللقطة ان يبدل نعله بغيرها فياخذها فلا يحل له استعملها الا بعد تعرضها
“Ini satu faedah termasuklah barang temuan itu seorang yang bertukar seliparnya dengan yang lain lalu diambilnya maka tiada halal baginya memakainya melainkan kemudian daripada diumumkannya.”

Kesimpulannya orang yang kehilangan kasut atau selipar ketika pulang dari masjid, haram mengambil kasut atau selipar orang lain. Siapa yang terambil kasut orang lain ketika pulang dari masjid wajib memulangkannya semula sekalipun sudah sampai ke rumah atau sudah berlalu masa yang sangat lama.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media