Tengku Adnan Tidak Senang Duduk! Aset Hampir RM1 Bilion Didedahkan


Siapa tidak berang bila rahsia yang disimpannya dengan begitu baik akhirnya terbongkar dan menjadi perbualan ramai. Ini dihadapi Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang tidak berpuas hati dan marah kerana asetnya yang bernilai hampir RM1 bilion telah didedahkan.

Perkara ini dilaporkan oleh Malay Mail Online di mana Tengku Adnan telah memberikan kenyataan semasa prosiding bela diri kes rasuahnya di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Anda lihat sekarang, saya mempunyai masalah kerana selepas aset saya didedahkan hampir RM1 bilion, mereka akan mahu sensasikannya. - katanya.

Ini adalah perbicaraan penuh ketika disoal peguam, Datuk Tan Hock Chuan di Mahkamah Tinggi:

TAN: Datuk Seri mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri pada 2001, 2006, 2013 dan 2016. Siapakah Perdana Menteri pada ketika itu?

TENGKU ADNAN: Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2001, Tun Abdullah Ahmad Badawi (2006) serta Datuk Seri Najib Razak bagi 2013 dan 2016.

TAN: Mengenai RM2 juta dari Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong, adakah nilai itu ada kaitan dengan tugas Datuk Seri sebagai Menteri Wilayah Persekutuan?

TENGKU ADNAN: Tidak.

TAN: Jadi duit itu untuk apa?

TENGKU ADNAN: Sumbangan politik untuk BN (Barisan Nasional) yang mana ketika itu untuk dua pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, ketika sesi soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, Ahli Parlimen Putrajaya itu gagal mengawal perasaan serta meninggikan suara.

JULIA : Merujuk kepada perenggan lapan pernyataan saksi anda, anda berkata, “...ramai yang cemburu dan mahu lihat kejatuhan Tadmansori Holdings Sdn Bhd (syarikat Tengku Adnan), saya tidak peduli dengan kedudukan politik saya kerana apa yang saya lakukan secara politik adalah demi kepentingan negara dan rakyat saya.”

Saya cadangkan ini adalah pendapat peribadi anda. Setuju atau tidak?

TENGKU ADNAN: Tidak saya tidak setuju dengan cadangan itu. Apa yang cuba saya sampaikan Yang Arif...

JULIA: Datuk Seri, ini adalah pemeriksaan balas, anda hanya boleh jawab sama ada setuju atau tidak bersetuju?

TENGKU ADNAN: Tidak saya tidak bersetuju! Anda lihat sekarang saya mempunyai masalah kerana selepas aset saya didedahkan hampir RM1 bilion, mereka akan mahu sensasikannya.

Peguam turut telah mendedahkan dan mengesahkan bahawa nilai hartanah pada 2001 sahaja adalah sebanyak RM 938,643,566.16, manakala pada 2006 (RM 711,325,822), 2013 (RM 691,770,649) dan 2016 (RM782,748,061).

Sumber: Harian Metro

+ Baca respon pembaca bila mengetahui aset RM1 bilion Kunan di Facebook Oh! Media.

Sumber: Oh! Media