Rukun Taubat Dan Amalan Selepas Taubat


SOALAN:
Seorang telah melakukan satu dosa yang besar dan ingin bertaubat. Bolehkah diterangkan rukun-rukun taubat dari dosa besar dan apakah pula yang mesti dilakukan selepas bertaubat?

JAWAPAN :
Rukun taubat ada tiga perkara.

  • Berhenti melakukan dosa tersebut serta merta.
  • Menyesal sungguh-sungguh dalam hati melakukan dosa tersebut kerana Allah.
  • Berazam tidak akan mengulangi dosa tersebut sepanjang hayatnya.

Siapa yang ada melakukan dosa kemudian dia bertaubat dengan melakukan tiga perkara tersebut maka Allah akan menerima taubatnya itu. Adapun jika dosa yang dilakukan itu ialah meninggalkan kewajipan seperti meninggalkan solat atau puasa dan seumpamanya maka wajib pula dia qadha solat dan puasa yang ditinggalkannya itu.

Atau dosanya itu mengambil hak orang lain tanpa sebenar seperti mencuri maka wajib pula dia memulangkan harta yang dicuri itu walaupun telah lama masa berlalu dan jika harta itu sudah binasa maka wajib dia bayar kepada pemiliknya harga senilai harta tersebut.

Orang-orang yang telah melakukan dosa, jangan pula dia ceritakan kepada orang lain kerana Allah telah menutup dosanya itu dari pengetahuan orang. Rasulullah SAW menggelarkan orang seperti ini sebagai mujahirin yang dibenci oleh Allah.

Kemudian tidaklah terhenti atas bertaubat sahaja tetapi hendaklah dia turutkan dengan memperbanyakkan kebaikan dan amal soleh seperti beristighfar dan zikir serta selawat dan membaca al-Quran dan solat sunat dan berakhlak dengan akhlak yang mulia.

Alangkah eloknya apa yang disebut oleh Syeikh Abdul Latif Abdul Ghani Al-Misri:

على من ارتكب هذه الكبائر أو غيرها ألَّا يتحدث بها وقد سترها الله عليه، وإلَّا كان من المجاهرين، وعليه أن يبادر بالتوبة إلى الله؛ بالندم الشديد على ما فعل، والعزم الصادق على ألَّا يرجع إلى المعصية، وليُكثر من الاستغفار وقراءة القرآن والصلاة وعمل الخير أملًا في رحمة الله ومغفرته ورضوانه؛ فقد ورد أن هذه الأمور تكفِّر الذنوب وتمحو الخطايا؛ قال تعالى: ﴿إِلَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَئِكَ يُبَدِّلُ اللهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللهُ غَفُورًا رَحِيمًا﴾ [الفرقان: 70]، وقال صلى الله عليه وآله وسلم: «اتق الله حيثما كنت، وأتبع السيئة الحسنة تمحها، وخالق الناس بخلق حسن» رواه أحمد.
Atas orang-orang yang telah melakukan dosa-dosa besar atau lainnya janganlah dia bercerita dengan dosa tersebut kerana Allah telah menutup atasnya. Jika tidak, maka dia termasuk golongan mujahirin. Dan atasnya bahawa bersegera kepada taubat akan Allah dengan menyesal yang sangat atas apa yang telah dia lakukan dan berazam dengan sungguh tidak mahu kembali kepada melakukan dosa. Dan hendaklah dia perbanyakkan mengucap istighfar dan membaca al-Quran dan bersolat dan melakukan amalan yang baik kerana mengharapkan rahmat Allah dan keampunan-Nya dan redha-Nya. Maka sungguh telah sabit bahawa segala amalan ini menghapuskan segala dosa dan memadamkan segala kesalahan.

Firman Allah Taala:

إِلَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَئِكَ يُبَدِّلُ اللهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللهُ غَفُورًا رَحِيمًا
“Melainkan siapa yang telah bertaubat dan beriman dan beramal soleh maka merekalah yang Allah gantikan segala kesalahan mereka dengan kebaikan. Dan adalah Allah sangat Pengampun lagi sangat Penyayang.” (Furqan: 70)

Dan Nabi SAW telah bersabda:

اتق الله حيثما كنت، وأتبع السيئة الحسنة تمحها، وخالق الناس بخلق حسن
“Takutlah kamu akan Allah dimana saja kamu berada dan turutilah kejahatan dengan kebaikan yang akan memadamkannya. Dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.” (Riwayat Ahmad)

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media