Pelik dengan penyokong


Kuala Terengganu: Hanya 350 peminat sahaja. Itu jumlah penonton yang menyaksikan perlawanan pertama digelanggang sendiri membabitkan dua pasukan Liga Perdana berstatus ‘ feeder club’, Terengganu FC II (TFC II) menentang Perak II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Jumaat lalu yang dimenangi tuan rumah 2-0.

Angka itu jelas jauh lebih rendah jika dibandingkan seramai 25,000 peminat yang membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak ketika aksi pertama Liga Super pertemuan Terengganu FC (TFC) dengan Perak pada 29 Februari lalu yang berkesudahan skuad Penyu tewas 1-3.

Adakah peminat tigak gemar menyaksikan perlawanan yang membabitkan pasukan berstatus ‘feeder club’ yang dianggap `kelas kedua’ atau ada tafsiran lain yang bermain dikalbu peminat bola sepak mengenai status pasukan berkenaan.

Jika dibandingkan dengan harga sekeping tiket, peminat hanya perlu membayar RM10 bagi tempat duduk terbuka untuk menyaksikan perlawanan di SSINS berbanding RM15 yang dikenakan bagi setiap dewasa di SSMZA.

Situasi ini mencetuskan polemik dan persoalan dalam kalangan peminat setia bola sepak negeri termasuk ketua jurulatih TFC II, Roshadi Wahab dan pengendali Perak II, Abu Bakar Fadzim yang mengharapkan sokongan juga perlu diberikan kepada pasukan 'feeder club'.

Menurut pengendali muda itu, sokongan kepada mana-mana pasukan yang diminati itu adalah hak peminat dan tidak boleh memaksa kerana mereka membayar harga tiket untuk masuk ke dalam stadium menyaksikan sesuatu perlawanan.

“Pada saya terpulang kepada peminat di luar sama ada dia minat atau tidak menyaksikan pasukan 'feeder club' beraksi.

“Kerana bagi saya walaupun status kita sebagai 'feeder club', yang penting pasukan kami ada kelebihan tersendiri termasuk dibarisi pemain tempatan muda berkualiti selain pemain import yang tidak kurang hebatnya.

“Namun dalam masa sama, saya juga harapkan penonton di luar sana jika boleh sokonglah pasukan TFC II kerana sokongan peminat mampu menyuntik semangat pemain, marilah kita sama-sama menaikkan pasukan dari Terengganu,” kata Roshadi yang menyerahkan kepada pihak pengurusan bagi menarik lebih ramai lagi peminat hadir ke stadium setiap kali pasukan TFC II beraksi.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, peminat dilihat lebih memberi tumpuan kepada pasukan Liga Super berbanding Liga Perdana selain faktor liputan yang diberikan kepada pasukan Liga Super lebih luas.

“Selain itu pasukan 'feeder club' serta pasukan yang beraksi dalam Liga Perdana ada sesetengah pihak pengurusan lebih berminat untuk mengetengahkan pemain muda dan ditambah pula dengan pemain import yang tidak begitu menyerlah kerana bajetnya terhad.

“Liga Perdana juga dilihat lebih tenang sekali gus membuatkan suasana kemeriahannya sedikit kurang, tapi saya percaya perlawanan akan datang mampu menarik lebih ramai peminat terutama jika sesebuah pasukan itu lebih konsisten.

“Harapan saya liputan yang meluas juga perlu diberikan kepada pasukan Liga Perdana selain menuntut pemain itu sendiri mampu meningkatkan prestasi sekali gus pasukan yang diwakilinya lebih cemerlang bagi menarik lebih ramai lagi peminat hadir ke stadium,” katanya. - Harian Metro