'Nak sangat masuk syurga, usahalah sendiri!' - Anak alami depression akibat terlalu ditekan ibu bapa


Kehidupan setiap individu berbeza-beza. Ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ada juga yang berasa sedih dan duka dengan kehidupan, tetapi ada yang lebih bahagia kehidupannya. Dan kita sebagai individu yang tidak ‘memakai saiz kasut yang sama,’ tidak perlu terus menunding jari dengan setiap perkara yang berlaku. 

Kebelakangan ini, kita seringkali mendengar isu-isu mengenai tekanan yang dihadapi oleh seseorang. Ada yang memperlekehkan isu ini sedangkan isu ini sangat perlu dititikberatkan dan memerlukan sokongan moral dari orang sekeliling. 

Seperti perkongsian wanita ini, selain daripada mendekatkan diri dengan agama, individu yang mengalami tekanan amat memerlukan kasih sayang dari orang sekelilingnya. Selain itu juga, wanita ini juga berpesan supaya individu yang mempunyai simptom-simptom depresi, segera berjumpa dengan doktor atau meluahkan pada orang yang terdekat.

SITUASI di kafe hospital:

"Dik, sebelah ni ada orang?"

"Takde kak, jemputlah duduk. Saya seorang je." 

"Akak pagi-pagi mesti kena kopi dulu. Kalau tidak, layu jer."

"Eh samalah kita kak, saya pun."

"Ada appointment ke kak?"

"Ya."

Kami pun borak-borak biasa, tanya itu ini. 

"Bagus dik, jaga Mak. Akak dulu pun jaga Mak akak. Akak anak tunggal. Hinggalah Mak takde.  Lepas tu Ayah pulak.  5 tahun lepas Mak meninggal, Ayah pun pergi. Cuma masa Ayah meninggal, Akak di luar negara, ikut suami kerja. Akak balik seorang, walaupun tak sempat nak tengok wajah akhir Ayah.  Dan itulah kali terakhir akak menangis."

Akak tu teruskan bercerita, muka memang sebak, tapi,  betul, takde air mata. 

"Akak ke sini, appointment klinik apa?"

"Psikitrik."

Terkedu saya. Pause. Tak tau nak cakap apa. Bimbang salah tanya, akak tu kecik hati. Mungkin akak tu faham perasaan saya, dia teruskan perbualan. 

"Ni lah sejak Ayah akak meninggal, 2007, sejak tu lah jadi depression. 

(Dah 13 tahun dia menderita depression). Akak tak boleh menangis. Setiap kali rasa sedih, sebak, perasaan tu tersekat ke tekak. Akak tak boleh nak luahkan dengan menangis."

"Bila macam tu, apa jadi kak?"

"Akak rasa emosi, nak marah. Bengang. Memang tak boleh tahan."

"Jadi, setiap kali sesi dengan Psikiatris, buat apa?" 

"Dia tahu nak tackle kita. Kita akan cerita dan dia tahu nak handle. Orang macam akak ni, tak boleh  orang setakat nak cakap sabar, sabar. Akak ni ada anak perempuan seorang. Buat masa ni, dia sibukkan diri dengan aktiviti sekolah anak dia. Kurang masa untuk dia sendirian. She is the reason for me to live and stay"

Senyum dia, begitu besar makna anak dia. Allahuakbar. Akak ni cerita juga tadi tentang anak buah kawan dia yang menghadapi depression. Remaja lelaki, umur sekitar 16-17. Anak ini seorang yang yang bijak, taat pada ibu ayah. Bersekolah di asrama sekolah sains tahfiz.

Anaknya pernah mengadu tak mampu nak bawak dua-dua aliran, tapi mak ayah terus-terusan  pujuk. Jadi anak ini kuatkan hati dan dapat keputusan PT3 yang cemerlang. 

"This is for you.” kata si anak ketika dia hulurkan result PT3. 

Kali ini anak sudah sedikit berani, kekal dengan keputusan untuk teruskan aliran sains sahaja di Tingkatan 4.  Tapi ayah terus memujuk, "Ayah naklah seorang anak ayah jadi tahfiz, boleh bawa kami masuk syurga"

Tak tau dari mana datang keberanian, si anak membentak, 

"Nak sangat masuk syurga, usahalah sendiri! Ibu Ayah bangun jam 6 pagi nak pegi kerja. Abang pukul 4 pagi dah kena bangun, siapkan diri. Pergilah Ibu Ayah cuba duduk di asrama tu sebulan, tengok, boleh tahan ke tidak!"

Terus dia nak ke bilik, dihempas pintu bilik. Si Ayah masih fikir positif.

"Tak apa, biarkan dia. Dia marah tu.  Nanti baiklah dia"

Si anak masih tak keluar bilik hingga keesokan pagi.  Bila emaknya check dalam bilik, jenuh ketuk, tak berbunyi. Mujur ada kunci spare.  Keadaan anak "mute". Duduk atas katil, merenung kosong dinding. Dihulur makanan, ya makan, tapi takde bunyi. 

Emak dan Ayah tak tau nak buat apa. Kebetulan adik emaknya tinggal berdekatan, dipanggilnya.  Bila makciknya datang, ditarik perlahan-lahan anak itu, dipeluk dan di baringkan diatas paha. Kemudian, ditepuk belakang anak itu perlahan-lahan dan dibisikkan, "It's ok, aunty ada. It's ok to cry."

Serta merta, si anak menangis sekuat-kuat  dan terhengut seakan bayi kecil. 

Alhamdullilah, cut story short, si anak kini tinggal bersama auntynya dan kini menjalani rawatan psikiatris. 

Sungguh, ini kali pertama saya berdepan dengan pesakit yang mengaku beliau ada masalah depression. (Yang disahkan doktor).

Secara zahirnya, beliau kelihatan sama macam kita semua, normal. Berbaju kurung, bertudung. Mukanya lembut dan ramah. Tiada yang pelik pada dirinya. Namun, itu luaran, rupanya dalamannya amat "sakit". Beliau menderita bertarung dengan "kesakitannya". 

Sebelum meninggalkan beliau saya peluk akak tu. Baru kenal, tapi saya yakin, ianya bukan kebetulan. Allah temukan saya dengan beliau untuk memberi pengajaran pada saya. 

Mari kawan-kawan, jika ada rasa gelisah, tak tenteram, ada yang tak kena, dapatkan rawatan.
  1. Jumpa psikiatrik, bukan bermakna awak gila. 
  2. Berjumpa dengan yang pakar  boleh membantu kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik. 
  3. Pelukan terhadap insan yang kita sayang, suami/isteri, anak-anak, mak/ayah, adik beradik mampu menenangkan jiwa. Dapat memecahkan ego hati seorang manusia. 
  4. Perancangan kita tak selalunya terbaik. Kita rasa itulah plan kita yang harus dibentuk untuk anak², end of the day, Allah juga Maha Mengetahui. Dialah sebaik-baik perancang. 
  5. Sentiasa dekatkan diri dengan Allah. Al Quran itu penenang jiwa. Setiap kali buka Al Quran, doa dan katakan, Ya Allah, aku ingin bersahabat dengan AlQuran. Jadikan ia peneman hidupku. Mudahkan urusanku untuk membacanya siang dan malam. 

Maka, benarlah, kasih sayang itu perlu ditunjuk, bukan sekadar kata-kata. Depression, sesiapa pun  mudah menyebutnya, tak semudah orang yang menanggung. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. 

Saya izinkan #SHARE, #Tag sahabat, ahli keluarga dan sesiapa saja,  kita tak tahu mungkin ada jiwa yang sedang sakit, tapi tidak kelihatan secara zahir. Mudahan perkongsian ini bermanfaat. 



Sumber : thereporter.my