Mayat Mendengar Bacaan Doa Orang Yang Hidup?


SOALAN:
Ketika ziarah kubur biasanya yang orang yang ziarah itu berdoa dan membaca al-Quran. Adakah mayat dapat mendengar doa dan bacaan tersebut? Kalau mayat itu masa hidupnya tinggal sembahyang adakah akan diringankan juga azabnya?

JAWAPAN:
Ulama' Ahlu Sunnah Wal Jamaah berkata bahawa orang yang telah mati mendengar akan orang yang hidup dan kelakuan mendengar mereka itu berbeza-beza mengikut apa yang dikehendaki oleh Allah Taala.

Telah berkata Dr Nuh Ali Salman: “Bermula pada asalnya semua orang yang telah mati sesungguhnya mereka dapat mendengar kerana hadith kisah hari perang Badar ketika Rasulullah SAW bercakap dengan mayat tentera Musyrikin yang terbunuh;

"قال عمر: يا رسول الله ما تكلم من أجساد لا أرواح لها؟ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (والذي نفس محمد بيده ما أنتم بأسمع لما أقول منهم) متفق عليه.
“Umar R.A berkata: “Wahai Rasulullah. Apa hal kamu bercakap dengan segala jasad yang telah tiada nyawa baginya?” Maka jawab Rasulullah SAW: “Demi Tuhan yang diriku di dalam genggaman-Nya, tidaklah kamu sekalian lebih mendengar bagi apa yang aku katakan dari mayat-mayat ini.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

[Rujuk: Darul Ifta Jordan]

Berkenaan dengan doa orang hidup kepada orang yang telah mati dari kalangan orang yang berdosa sebab meninggalkan solat atau lainnya maka doa tersebut memberi guna dengan izin Allah. Jika Allah mengkehendaki maka akan dikabulkan doa orang yang hidup itu dan Allah ringankan azab atau angkatkan azab dari mereka di alam barzakh.

Kerana itulah Rasulullah SAW berpesan kepada para sahabat supaya berdoa dahulu kepada mayat yang baru ditanam sebelum pulang ke rumah sebagaimana yang tsabit dalam hadith-hadith yang sahih.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media