Maaf, janji akan perbaiki kelemahan benteng pertahanan


PERTAHANAN tengah Terengganu FC (TFC), Nasrullah Haniff Johan berjanji mahu perbaiki mutu permainan dan kesilapannya dalam misi mencipta kemenangan kedua berturut-turut bertemu Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Rabu ini.

Pemain berasal dari Negeri Sembilan yang lebih mesra dipanggil Anas itu juga akui corak permainan pasukannya kian meningkat seperti dibuktikan ketika bangkit daripada ketinggalan sebelum membenam cabaran Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Sabtu lalu.

“Selepas dua perlawanan termasuk terbaharu menentang Kedah, kami semakin meningkat meskipun ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki segera sebelum bertemu Selangor termasuk di bahagian pertahanan.

“Secara peribadi, jika saya masih diberi peluang dan kepercayaan jurulatih bermain dalam perlawanan itu nanti, sudah tentu saya akan perbaiki segala kesilapan termasuk mengelak pintu gol daripada dibolosi penyerang lawan.

“Selain itu secara peribadi juga saya mohon maaf kepada semua peminat TFC termasuk kem pasukan atas kesilapan dan gagal memperagakan aksi terbaik ketika bertemu Kedah sehingga ada yang mempersoalkan corak permainan saya.

“Insyaalah saya akan mencuba sebaik mungkin buat pasukan terutama untuk mendapat kemenangan kedua dan pertama di tempat sendiri bagi mengukuhkan kedudukan dalam saingan liga musim ini,” ujar Nasrulllah.

Pada pertemuan dengan Helang Merah itu, Nasrullah yang digandingkan dengan pemain tinggi lampai kelahiran Senegal, Babacar Diallo di posisi pertahanan kerap kali hilang fokus sekali gus membenarkan dua penyerang bahaya lawan, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman bergerak bebas dalam kawasan penalti sehingga gawang dibolosi tiga gol. - Harian Metro