SOALAN:
Apakah status kisah tapak kaki Bilal di syurga?
JAWAPAN:
Sahabat Nabi SAW merupakan di antara generasi yang terbaik kerana mereka hidup sezaman dengan Nabi SAW dan mereka juga dididik sendiri oleh Baginda SAW. Hal ini diakui sendiri oleh Baginda SAW melalui sabdanya:
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
“Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka.” [Riwayat al-Bukhari (3651)]
Selain itu juga, di dalam al-Quran ada dinyatakan bahawa Allah SWT meredhai para sahabat ini dan Allah SWT menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai:
وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“Dan orang-orang yang terdahulu -yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada Muhajirin dan Ansar serta orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar.” (Al-Taubah: 100)
Berdasarkan soalan di atas, kisah Nabi SAW mendengar tapak kaki Bilal di dalam syurga adalah bersumberkan daripada hadith yang sahih. Antaranya, ia diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (256H) di dalam kitab sahihnya:
Daripada Abu Hurairah R.A berkata, telah berkata Nabi SAW kepada Bilal ketika solat Fajar:
يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الإِسْلاَمِ، فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الجَنَّةِ. قَالَ: مَا عَمِلْتُ عَمَلًا أَرْجَى عِنْدِي: أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طَهُورًا، فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ، إِلَّا صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ
“Wahai Bilal! Khabarkan kepadaku amalan yang paling utama telah kamu lakukan sejak memeluk Islam. Ini kerana, aku mendengar gerakan kaki di sisiku di dalam syurga.” Bilal menjawab: “Tidak ada amalan utama yang aku amalkan kecuali aku akan berwudhu’ pada waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wudhu’ tersebut di samping solat-solat yang diwajibkan ke atasku.” [Riwayat al-Bukhari (1149)]
Antara perkara yang boleh diambil daripada hadith ini adalah menetapkan waktu beribadah (menetapkan waktu khusus dalam sesuatu ibadah) adalah dibenarkan kerana Bilal telah melakukannya kerana ia terhasil daripada istinbatnya sendiri lalu Nabi SAW membenarkan perkara tersebut. [Lihat: Fath al-Bari, 3/34]
Hadith ini juga menjadi dalil tuntutan untuk menunaikan solat sunat selepas daripada berwudhu’. Hal ini turut diperkatakan oleh Imam Ibn al-Jauzi apabila beliau mengatakan bahawa hadith ini menunjukkan galakan menunaikan solat selepas selesai berwudhu’ agar wudhu’ itu mencapai maksudnya. [Lihat: Fath al-Bari, 3/34]
Tambahan pula, perbuatan Bilal bin Rabah ini menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW melalui hadithnya.
Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhaniy RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُحْسِنُ الْوُضُوءَ، وَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، يُقْبِلُ بِقَلْبِهِ وَوَجْهِهِ عَلَيْهِمَا، إِلَّا وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ
“Barangsiapa yang berwudhu’ serta memperelokkan wudhu’nya, lalu dia mendirikan solat sebanyak dua rakaat dalam menghadapkan keduanya iaitu hati dan wajahnya (khusyuk), melainkan akan dijamin baginya syurga.” [Riwayat Abu Daud (906), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hadith yang kuat]
Penutup
Kesimpulannya, kisah Nabi SAW mendengar tapak kaki Bilal R.A di dalam syurga adalah kisah yang sahih dan kisah tersebut menunjukkan ketinggian kedudukan Bilal R.A disebabkan beliau menjaga serta mengamalkan sunnah-sunnah yang diajar oleh Nabi SAW.
Semoga dengan sedikit pencerahan yang ringkas ini dapat memberi manfaat serta kefahaman kepada kita dalam memahami ilmu hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media