Kayuhan Kebajikan Santuni Masyarakat



Oleh: Shahril Aswad
Gambar: Naim Abdullah

HULU TERENGGANU, 16 Mac - Seramai  70 peserta menyertai Kayuhan Kebajikan Bersama Pegawai Daerah Hulu Terengganu.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu berkata, mereka menjadikan acara berbasikal itu sebagai platform Pusat Khidmat Masyarakat, Pejabat Daerah dan agensi kerajaan turun padang menyantuni masyarakat dengan lebih dekat.

"Ianya juga dapat menyelami masalah yang dihadapi mereka.

“Kita mengambil peluang dengan aktiviti berkayuh ini untuk menyampaikan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan, ibu tunggal dan penghidap penyakit kronik disamping dapat menyantuni masyarakat dengan lebih dekat,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) seusai program tersebut baru-baru ini.

Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong bersama Pejabat Daerah Hulu Terengganu itu turut disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Daerah Hulu Terengganu, Altenative Riding Club (ARC) dan peminat sukan berbasikal.

Ia membabitkan kayuhan sejauh 25 kilometer (km) bermula dari perkarangan Masjid Kampung Mesah melalui beberapa “Checkpoint” di Kampung Bukit Tadok, Kepah dan Tengkawang seterusnya berakhir di Persisir Sungai Kuala Ping.

Pelepasan peserta dilakukan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Ustaz Kamaruzaman Abdullah.

Selain itu katanya, acara berbasikal ini juga diadakan bagi menyahut seruan kerajaan untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan secara santai.

“Program ini juga bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat setempat mengenai cara hidup sihat, ini berikutan basikal adalah antara aktiviti yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat hari ini dan boleh disertai seisi keluarga,” ujar beliau.

Sumber: teganukita.net