SOALAN:
Sekarang ini sudah ramai Muslimat yang berada di luar rumah memakai baju yang longgar di sebelah atasnya tetapi di sebelah bawah dia memakai seluar yang ketat seperti jean atau legging sehingga semua orang boleh melihat bentuk peha, lutut, betis dan kakinya. Apakah dibolehkan Muslimat berpakaian macam ini di luar rumah?
JAWAPAN:
Sesetengah dari nikmat yang Allah berikan kepada bangsa manusia yang membezakan dari haiwan ialah pakaian yang menutup aurat.
Peraturan berpakaian bagi kaum wanita apabila berada di luar rumah atau di hadapan lelaki yang bukan mahram wajib mematuhi dua syarat asas iaitu:
- Tidak menampakkan warna kulit selain muka dan dua tapak tangannya.
- Tidak mensifatkan bentuk tubuh badan jika dilihat orang.
Maka wanita yang memakai pakaian mengikut dua syarat di atas dikira sebagai wanita yang menutup aurat. Sementara wanita yang berpakaian tetapi tidak mengikut dua syarat di atas adalah dikira membuka aurat sekalipun atas nama fesyen atau mengikut zaman dan disisi syariat wanita ini adalah fasiq kerana ingkar untuk patuh kepada Allah.
Seluar yang dinamakan legging itu haram dipakai oleh kaum wanita di hadapan lelaki ajnabi kerana tersangat ketatnya. Legging itu sendiri bermaksud pakaian yang menampakkan bentuk kaki yang sebenar apabila dipakai. Rasulullah SAW menggelarkan wanita yang berpakaian tetapi masih menampakkan aurat atau bentuk badan ini sebagai wanita bertelanjang.
Berkata Syeikh Ahmad Syarif An-Na’san:
لِبَاسُ المَرْأَةِ قَدْ يَكْشِفُ العَوْرَةَ لِرِقَّتِهِ، أَو يَسْتُرُهَا، وَلَكِنْ يَصِفُ حَجْمَهَا، وَهُوَ في الحَالَتَيْنِ غَيْرُ شَرْعِيٍّ، وَصَاحِبَتُهُ مُنْدَرِجَةٌ تَحْتَ قَوْلِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعلى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ: «وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ» ثُمَّ قَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعلى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ: «لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ، وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا ـ وفي رِوَايَةِ الإمام أحمد: وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ خَمْسِمِائَةِ عَامٍ ـ» رواه الإمام مسلم عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنهُ
فَيَجِبُ عَلَى المَرْأَةِ أَنْ تُرَاعِيَ هَذِهِ الأَحْكَامَ عِنْدَ لِبَاسِهَا، فَلَا يَجُوزُ لَهَا لِبَاسُ الثِّيَابِ الشَّفَّافَةِ الرَّقِيقَةِ لِأَنَّهَا تُظْهِرُ العَوْرَةَ، وَلَا يَجُوزُ لَهَا أَنْ تَلْبَسَ الثِّيَابَ الضَّيِّقَةَ لِأَنَّهَا تُجَسِّدُ العَوْرَةَ، وَهِيَ إِنْ لَبِسَتْ هَذَا وَقَعَتْ تَحْتَ الوَعِيدِ: «وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ».
“Pakaian wanita itu terkadang menampakkan aurat kerana lembutnya atau menutup aurat tetapi mengsifatkan bentuk badannya, maka wanita di dalam dua keadaan itu tidak mematuhi agama. Maka pemakainya masuk dibawah sabda Nabi SAW:
“Wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang.” Kemudian Nabi SAW bersabda: “Tiada masuk wanita-wanita ini ke dalam syurga dan mereka tidak mencium bau syurga dan sesungguhnya harum bau syurga itu didapati dari jarak perjalanan sekian.” Dan pada riwayat Imam Ahmad: “Sesungguhnya bau syurga itu sudah di dapat dalam jarak lima ratus tahun perjalanan.” [Riwayat Muslim dari Abu Hurairah R.A]
Terjawab persoalan di atas, iaitu muslimat yang memakai seluar ketat atau legging sekalipun memakai baju yang longgar tetap dikira tidak menutup aurat kerana semua orang boleh nampak bentuk pehanya, lututnya, betisnya dan kakinya. Maka wajib atas kaum wanita memelihara segala hukum agama ini ketika berpakaian.
Tidak harus iaitu haram baginya memakai pakaian yang jarang yang lembut kerana pakaian ini akan menampakkan aurat. Dan tidak harus baginya memakai pakaian yang ketat kerana ia akan menampakkan bentuk badan. Jika dia pakai pakaian sebegini maka dia termasuk dalam golongan perempuan yang berpakaian tapi sebenarnya telanjang.”
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media