Hukum Suami Mandikan Jenazah Isteri Dan Sebaliknya


SOALAN:
Apabila mati isteri adakah diharuskan suami memandikan jenazah isterinya itu?

JAWAPAN:
Bermula yang afdhal ialah lelaki memandikan jenazah lelaki dan perempuan memandikan jenazah perempuan. Berkata Imam Nawawi:

الأصل أن يغسل الرجالُ الرجالَ، والنساءُ النساءَ
“Bermula yang asalnya bahawa lelaki memandikan jenazah lelaki dan perempuan memandikan jenazah perempuan.” (Raudhatut Talibin)

Tetapi jika meninggal isteri lalu suami yang memandikan jenazah isterinya itu maka hukumnya adalah harus di sisi jumhur ulama'.

Suami Mandikan Jenazah Isteri

Diriwayatkan dari Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا ضَرَّكِ لَوْ مِتِّ قَبْلِي، فَقُمْتُ عَلَيْكِ، فَغَسَّلْتُكِ، وَكَفَّنْتُكِ، وَصَلَّيْتُ عَلَيْكِ، وَدَفَنْتُكِ
“Tiada menyusahkan akan kamu andainya engkau meninggal dahulu daripada aku, maka aku yang memandikan akan kamu dan mengkafankan akan kamu dan menyembahyangkan akan kamu dan menanam akan kamu.” (Hadith Ibnu Majah)

Berkata Imam Syaukani:

(فغسلتك) فيه دليل على أن المرأة يغسلها زوجها إذا ماتت
“Maka sabda Nabi SAW “aku akan memandikan akan jenazahmu” itu menjadi dalil atas bahawa harus jenazah isteri itu dimandikan oleh suaminya apabila dia mati.” (Nailul Authar)

Dan diriwayatkan dari Asma’ bin Umais R.A:

أَنَّ فَاطِمَةَ رضي الله عنها أَوْصَتْ أَنْ يُغَسِّلَهَا عَلِيٌّ رضي الله عنه
“Sesungguhnya Fatimah R.Anha telah berpesan supaya dimandikan jenazahnya oleh suaminya Ali bin Abi Talib R.A.” (Musnad Syafie)

Imam Ibnu Munzir meriwayatkan:

أن عليًّا كرم الله وجهه غسَّل فاطمة رضي الله عنها، وأجمع الصحابة على جواز ذلك.
“Sungguhnya Ali R.A memandikan jenazah Fatimah R.Anha dan telah ijma' oleh para sahabat atas harus yang demikian itu.”

Berkata Imam Nawawi:

وأما غسله زوجته فجائز عندنا , وعند جمهور العلماء , حكاه ابن المنذر عن علقمة وجابر بن زيد وعبد الرحمن بن الأسود ...ومالك والأوزاعي وأحمد وإسحاق ، وهو مذهب عطاء وداود وابن المنذر
“Dan adapun memandikan jenazah isteri oleh suami, maka harus ia disisi kami dan disisi jumhur ulama'. Telah menghikayat akan dia oleh Ibnul Munzir dari Alqamah dan Jabir bin Zaid dan Abdul Rahman bin Al-Aswad dan Malik dan Al-Auza’ie dan Ahmad dan Ishaq. Dan ialah mazhab Atha’ dan Daud dan Ibnu Munzir.” (Syarah Al-Muhazzab)

Isteri Mandikan Jenazah Suami

Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansari:

ولزوجة غسل زوجها؛ لأن الزوجية لا تنقطع حقوقها بالموت بدليل التوارث
“Dan harus bagi isteri memandikan jenazah suaminya dari kerana keadaan suami isteri itu tiada terputus hak-haknya dengan kematian berdalil dengan pewarisan.” (Syarah Minhaj)

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media