Hukum Solat Jamak Bagi Petugas COVID-19


Jamak bermaksud menggabung dua solat di dalam satu waktu. Iaitu menggabung solat Zohor dengan solat solat Asar dan solat Maghrib dengan solat Isyak.

Imam Al-Nawawi menyebut: “Mazhab kami (mazhab Al-Syafi’i mengharuskan jamak di antara solat Zohor dan Asar pada waktu yang dia suka dan juga solat Maghrib dengan Solat Isyak. Ini juga merupakan ijma'.” (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab , 4/249)

Pada asasnya, di dalam mazhab Al-Syafi’i, menjamakkan di antara dua solat diharuskan atas tiga sebab iaitu:

  • Musafir
  • Hujan
  • Ketika Hari Arafah

(Rujuk: Minhaj Al-Tolibin Wa ‘Umdah Al-Muftin, 1/ 417-423)

Inilah pandangan yang muktamad di dalam mazhab Al-Syafi’i berkenaan sebab-sebab yang membolehkan untuk menjamakkan solat. Namun begitu, sebahagian daripada ulama' bermazhab Al-Syafi’i dan sebahagian fuqaha' mengharuskan untuk menjamakkan solat selain dari sebab-sebab yang disebutkan dengan sebab ada hajat dan keperluan.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.A, beliau berkata:

جَمَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ ، وَبَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالعِشَاءِ بِالمَدِينَةِ مِنْ غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ مَطَرٍ ، قَالَ : فَقِيلَ لاِبْنِ عَبَّاسٍ : مَا أَرَادَ بِذَلِكَ ؟ قَالَ : أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ
“Rasulullah SAW menjamakkan di antara solat Zohor dengan Asar dan di antara solat Maghrib dengan Isyak di Madinah tanpa ada kegawatan dan bukan kerana hujan.” Lalu ditanya kepada Ibnu Abbas: “Apa tujuan Nabi buat sedemikian rupa?” Ibnu Abbas berkata: “Baginda tidak ingin menyusahkan umatnya.” [Riwayat Al-Tirmidzi (187), Al-Nasai’i (1574)]

Sheikh Abdurrahman Al-Mubarakfuri menyebut sesiapa yang ada keuzuran maka diharuskan untuk dia menjamakkan solat. Adapun bagi mereka yang ada keuzuran akan tetapi tidak mahu menjamakkan solat sehingga meninggalkan solat maka dia berdosa tanpa syak lagi. (Rujuk: Tuhfah Al-Ahwazi Syarah Jami’ Al-Tirmizi, 2/205)

Maka dapat difahami daripada hadith tersebut bahawa jika ada sebab keuzuran, ada kegawatan dan terdapat urusan yang mendesak maka ianya lebih utama untuk dijamakkan solat.

Imam Al-Nawawi menukilkan pandangan sebahagian ulama' bermazhab Al-Syafi’i seperti Al-Qadhi Husain, Abu Sulaiman Al-Khattabi, Al-Ruyani, Abu Qasim Al-Rafi’i dan lain-lain. Mereka menyatakan bahawa harus untuk menjamakkan solat kerana keadaan yang gawat ketakutan dan sakit. Boleh dilakukan sama ada secara taqdim dan ta’khir. Keluasan ini diberikan adalah kerana ingin memberikan keringanan kepada mereka-mereka yang terlibat atau ditimpa sebab-sebab tersebut. Bahkan keadaan seperti gawat dan takut adalah lebih utama daripada hujan. (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/263)

Imam Abdullah Al-Kharasyi Al-Maliki menyebut bahawa sebab jamak bukan sahaja musafir akan tetapi apa sahaja yang mendatangkan kepayahan untuk berwudhu' dan solat pada waktunya. Bahkan kepayahan yang dilalui oleh orang yang berada di dalam keadaan yang gawat lebih payah daripada kepayahan yang ada pada musafir dan juga hujan. (Rujuk: Syarh Mukhtasar Khalil, 5/120)

Bagi mazhab Hanbali sebab keharusan untuk menjamakkan solat lebih luas lagi. Sheikh Dr Wahbah Al-Zuhaili menyenaraikan ada 8 sebab yang mengharuskan jamak di sisi mazhab Hanbali. Di antara sebab tersebut ialah keuzuran dan sesiapa yang terlibat dengan sesuatu perkara yang penting yang mana jika tidak dijamakkan solat akan menyebabkan kemudaratan. (Rujuk: Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/510).

Ibnu Qudamah mengatakan: “Kami telah berijma' bahawa solat tidak boleh dijamakkan melainkan ada keuzuran.” (Rujuk: Al-Syarh Al-Kabir ‘Ala Al-Muqni’, 2/116)

Beliau menyebutkan lagi bahawa harus untuk menjamakkan solat jika ada keperluan yang mendesak dan ianya perlulah tidak dianggap sebagai adat. Beliau bersandarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. (Rujuk: Al-Mughni, 2/121)

Sheikh Abdurrahman Al-‘Asimi Al-Najdi menyebut, harus untuk menjamakkan solat kerana ada keuzuran dan keperluan disebabkan ada tugasan penting yang tidak boleh ditinggalkan dan jika ditinggalkan akan mendatangkan mudarat. (Rujuk: Hasyiah Al-Raudh Al-Murbi’, 2/401)

Apatahlagi jika tugasan tersebut melibatkan nyawa dan tidak boleh sewenang-wenangnya ditinggalkan seperti petugas COVID-19. Maka lebih utama baginya untuk menjamakkan solat daripada dia meninggalkan solat dengan sengaja.

Di dalam sebuah hadith yang lain, Nabi SAW bersabda:

مَنْ جَمَعَ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ مِنْ غَيْرِ عُذْرٍ فَقَدْ أَتَى بَابًا مِنْ أَبْوَابِ الْكَبَائِ
“Sesiapa yang menjamakkan dua solat tanpa ada keuzuran, sesungguhnya dia telah mendatangi salah satu dari pintu dosa besar.” [Riwayat Al-Tirmidzi (188)]

Imam Al-Tirmizi mengatakan bahawa hadith ini lemah di sisi ahli hadith akan tetapi ianya diamalkan oleh fuqaha'. Maka, berdasarkan hadith ini, tidak salah menjamakkan antara dua solat jika ada keperluan dan keuzuran. Justeru itu, kami melihat akan keharusan untuk menjamakkan solat bagi petugas COVID-19 kerana tugasan tersebut adalah tugasan yang getir, yang tidak boleh ditinggalkan dan boleh membawa mudarat jika tidak dilaksanakan dengan sebaiknya. Ini dianggap sebagai satu keuzuran untuk membenarkan mereka menjamakkan solat.

Perkara ini juga bertepatan dengan kaedah:

المشَقَّة تَجْلِبُ التَّيْسِيَر
“Kepayahan dan kesukaran mendatangkan kemudahan.”

Kesimpulannya, diharuskan jamak untuk mereka yang terlibat sebagai frontliner atau petugas bagi menangani wabak COVID-19 khususnya di tempat awam seperti hospital dan lain-lain. Mengambil kira pandangan sebahagian fuqaha' mazhab Al-Syafi’i dan juga pandangan fuqaha' mazhab Hanbali yang menyebut akan keharusan jamak disebabkan ada keuzuran atau tugas yang penting.

Namun begitu ada beberapa garis panduan berkaitan solat jamak yang perlu diikuti oleh para petugas COVID-19:

  • Hendaklah waktu syif tersebut meliputi sekurang-kurangnya dua waktu solat yang jika tidak ada keharusan jamak akan menyebabkan terlepas salah satu waktu;
  • Tiada pilihan waktu syif lain;
  • Tidak dibenarkan untuk membuka pakaian PPE ketika waktu syif;
  • Melakukan jamak taqdim jika waktu syif berpanjangan sehingga terkeluar kepada waktu solat kedua;
  • Melakukan jamak ta’khir jika waktu syif bermula sebelum waktu solat pertama dan berakhir sehingga masuk waktu solat kedua;
  • Hanya dibenarkan melakukan jamak tamam iaitu melakukannya secara sempurna tanpa perlu qasar. Ini kerana qasar iaitu memendekkan solat empat rakaat kepada dua rakaat hanya dilakukan ketika musafir.

Semoga Allah memelihara kita daripada wabak yang sedang melanda kita dan perbanyakkan doa agar Allah segera menghilangkan wabak ini.Semoga Allah memberikan ganjaran dan pahala kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam tugasan menangani wabak COVID-19 ini. Wallahu’alam.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media