SOALAN:
Biasaanya kita dengar orang lelaki meminang perempuan. Adakah harus dalam Islam pihak perempuan yang meminang lelaki? Adakah perbuatan ini dikira menjatuhkan maruah pihak perempuan seperti tanggapan kebanyakkan masyarakat?
JAWAPAN:
Erti meminang ialah satu pihak mengajak pihak yang satu lagi melangsungkan perkahwinan. Biasanya meminang ini berlaku dari pihak lelaki. Bila berlaku dari pihak perempuan maka inilah yang dikatakan perempuan meminang lelaki.
Hukum perempuan meminang lelaki ini adalah harus disisi syarak dan ia pernah berlaku beberapa kali di zaman Rasulullah SAW. Dan para ulama' menyebut bahawa keharusan perempuan meminang lelaki ini ialah apabila ada kelebihan pada lelaki itu seperti sebab alimnya atau solehnya atau akhlaknya yang mulia.
Diriwayatkan dari Anas R.A katanya:
جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم تَعْرِضُ عَلَيْهِ نَفْسَهَا قَالَتْ يَا رَسُولَ اللهِ أَلَكَ بِي حَاجَةٌ فَقَالَتْ بِنْتُ أَنَسٍ مَا أَقَلَّ حَيَاءَهَا وَاسَوْأَتَاهْ وَاسَوْأَتَاهْ قَالَ هِيَ خَيْرٌ مِنْكِ رَغِبَتْ فِي النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَعَرَضَتْ عَلَيْهِ نَفْسَهَا.
Telah datang seorang perempuan kepada Rasulullah saw menawarkan dirinya (yakni berkahwin) dengan katanya: “Wahai Rasulullah! Adakah tuan sudi dengan diriku?” Lalu berkata anak perempuan Anas yang ada bersama ketika itu: “Apalah kamu ini tidak ada rasa malu? Alangkah tidak eloknya. Alangkah tidak eloknya.” Lalu berkata Anas: “Perempuan ini lebih baik dari kamu kerana dia inginkan Rasulullah SAW dan menawarkan dirinya.” (Riwayat al-Bukhari)
Berkata Al-Hafiz Imam Ibnu Hajar:
وفي الحديثين دلالة على جواز عرض المرأة نفسها على الرجل
“Dan pada hadith-hadith ini menunjukkan atas harus perempuan menawarkan dirinya (untuk berkahwin) kepada lelaki.” (Rujuk: Fathul Baari Syarah Sahih Bukhari)
Berkata Syeikhul Azhar Syeikh Ahmad Thayyib:
وقد استنبط الفقهاء من هذا الحديث جواز أن تعرض المرأة نفسها على الرجل الصالح
“Dan sesungguhnya para fuqaha' telah mengambil hukum dari hadith ini akan harusnya perempuan menawarkan dirinya kepada lelaki yang soleh.”
Berkata Imam Al-Qastallani:
فيه جواز عرض المرأة نفسها على الرجل الصالح وأنه لا عار عليها في ذلك بل فيه دلالة على فضيلتها نعم إن كان لغرض دنيوي فقبيح
“Pada hadith ini menunjukkan atas harusnya perempuan menawarkan dirinya (untuk dikahwini) kepada lelaki yang soleh. Sesungguhnya tiada aib atasnya pada yang demikian itu. Bahkan pada hadith ini menjadi dalil atas kelebihan perempuan tersebut. Dan jika perempuan itu meminang lelaki kerana tujuan dunia maka ia adalah keji.” (Rujuk: Irsyad As-Saari Syarah Sahih Bukhari)
Maka terjawab sudah persoalan bahawa sesungguhnya tidak menjadi kesalahan yakni harus perempuan meminang lelaki jika lelaki itu orang yang alim atau soleh atau seumpamanya. Dan amatlah tidak benar dikatakan perempuan meminang lelaki yang baik itu sebagai menjatuhkan maruah.
Sesungguhnya yang menjatuhkan maruah itu ialah perempuan bertunang atau berkahwin dengan lelaki fasiq yang kehidupannya tidak mengikut tunjuk ajar Rasulullah SAW. Bahkan perempuan yang meminang lelaki soleh itulah perempuan yang mempunyai kelebihan dan kemuliaan.
Berkata Imam Badaruddin Al-‘Aini:
قول أنس لابنته ( هي خير منكِ ) دليل على جواز عرض المرأة نفسها على الرجل الصالح ، وتعريفه رغبتها فيه لصلاحه وفضله ، أو لعلمه وشرفه ، أو لخصلة من خصال الدين ، وأنه لا عار عليها في ذلك ، بل يدل على فضلها
“Perkataan Anas R.A kepada anaknya bahawa perempuan yang meminang Nabi SAW lebih baik dari anaknya menunjukkan atas harusnya kaum perempuan meminang lelaki yang soleh dan gemarnya perempuan tersebut kepada lelaki itu kerana solehnya dan kelebihannya atau kerana ilmunya atau mulianya atau keistimewaannya yang berkait agama. Dan sesungguhnya tiada malu atau aib pada yang demikian itu bahkan ia menunjukkan bahawa perempuan tersebutlah yang mempunyai kelebihan.” (Rujuk: ‘Umdatu Al-Qaari Syarah Sahih Bukhari)
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media