SOALAN:
Saya ingin tahu hukum perempuan bonceng motosikal yang dipandu oleh lelaki yang bukan mahram. Adakah haram juga jikalau di depan khalayak ramai kerana tiada unsur bersunyi dari pandangan orang ramai?
JAWAPAN:
Diharamkan perempuan bonceng motosikal dengan lelaki bukan mahram atau lelaki bonceng motosikal dengan perempuan yang bukan mahram bukan dikaitkan dengan sunyi dari pandangan orang ramai atau tidak.
Ia diharamkan kerana menghindari perkara yang dilarang syarak seperti berlaku persentuhan atau tidak bersentuhan tetapi rapat hampir hingga timbul syahwat atau perasaan yang tidak disukai syarak.
Tersebut dalam kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:
يجوز إرداف الرجل للرجل والمرأة للمرأة إذا لم يؤد إلى فساد أو إثارة شهوة لإرداف الرسول للفضل بن العباس ويجوز إرداف الرجل لامرأته والمرأة لزوجها لإرداف الرسول لزوجته صفية رضي الله عنها وإرداف الرجل للمرأة ذات الرحم المحرم جائز مع أمن الشهوة وأما إرداف المرأة للرجل الأجنبي والرجل للمرأة الأجنبية فهو ممنوع سدا للذرائع واتقاء للشهوة المحرمة
“Harus lelaki membonceng kenderaan lelaki dan perempuan membonceng kenderaan perempuan jika tidak menimbulkan kerosakan atau perasaan syahwat kerana Nabi SAW pernah membonceng unta Fudhail bin Al-‘Abbas R.A. Dan harus suami membonceng kenderaan isterinya dan isterinya membonceng suaminya kerana Nabi SAW pernah membonceng isterinya Sofiyyah R.Anha. Dan lelaki yang membonceng perempuan mahramnya juga harus serta aman dari fitnah. Dan adapun perempuan membonceng lelaki ajnabi dan lelaki membonceng perempuan ajnabiyah, maka ianya dilarang syarak kerana menutup pintu kerosakkan dan menjauhkan datang syahwat yang diharamkan.”
Perbuatan perempuan bonceng lelaki bukan mahram ini atau sebaliknya tanpa sebarang darurah menyebabkan pelakunya menjadi fasik.
Tersebut pada kitab I’anah At-Talibin:
فَيُكْرَهُ مَا لَمْ يَكُنْ فِيْهِ اخْتِلَاطُ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ بِأَنْ تَتَضَامَّ أَجْسَامُهُمْ فَإِنَّهُ حَرَامٌ وَفِسْقٌ
“Maka dimakruhkan (beramai-ramai lelaki dan perempuan) selama tiada padanya percampuran lelaki dan perempuan dengan bahawa bercampur rapat segala tubuh mereka maka sesungguhnya yang demikian itu haram dan fasik.”
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media