Hukum Meninggalkan Tiga Kali Solat Jumaat Ketika COVID-19


SOALAN:
Sekiranya ditakdirkan Perintah Kawalan Pergerakan yang turut melibatkan larangan menghadiri solat Jumaat dan solat berjemaah sekarang ini akan dipanjangkan tempohnya, adakah saya termasuk dalam amaran yang terdapat dalam hadith berkenaan mereka yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut itu? Mohon penjelasan.

JAWAPAN:
Menghadiri solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak kepada setiap lelaki beragama Islam yang mukallaf. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” [Surah Al-Jumu‘ah (9)]

Maka dapat difahami bahawa menghadiri dan mendirikan kewajipan solat Jumaat merupakan ciri seorang Mukmin yang mendahulukan tanggungjawab seorang hamba kepada Allah SWT mengatasi sebarang kepentingan duniawi seperti berjual beli pada masa tersebut.

Meskipun begitu, tuntutan menghadiri solat Jumaat secara berjemaah ini diberikan keringanan kepada mereka yang mempunyai keuzuran yang diambil kira di sisi syarak untuk tidak menghadirinya. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ
“Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.” [Riwayat Ibn Majah (793)]

Menurut hadith di atas, secara asasnya seseorang itu dituntut untuk menghadiri solat berjemaah sekiranya dia mendengar panggilan azan. Meskipun begitu, jika ada keuzuran tertentu maka dia diberi pengecualian untuk hadir menyahut seruan tersebut. Manakala dalam sebuah riwayat yang lain, para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW apakah yang dimaksudkan dengan keuzuran? Maka Rasulullah SAW menjawab:

خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ
“Perasaan takut ataupun sakit.” [Riwayat Abu Daud (551)]

Maka jelas daripada hadith di atas bahawa perasaan takut atau sakit termasuk dalam kategori uzur yang membolehkan seseorang itu untuk tidak hadir ke masjid bagi solat berjemaah. Kemudian para fuqaha' memperincikan lagi akan tahap ketakutan yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat berjemaah dan juga solat Jumaat.

Ini seperti yang disebutkan oleh Syeikh Ali al-Qaradaghi seperti berikut: “Harus untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah dalam keadaan virus yang sedang tersebar disebabkan oleh perasaan takut dijangkiti virus tersebut.” Beliau juga menyebut bahawa keharusan tersebut perlulah disyaratkan dari sudut ketakutan penyebaran itu benar-benar yakin berlaku dan bukanlah pada sangkaan semata-mata.

Justeru, bertitik tolak dari nasihat dan pandangan pakar yang berautoriti berkenaan cepatnya COVID-19 ini merebak, maka dikeluarkan arahan supaya segala aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid dihentikan sementara waktu. Maka ketidakhadiran umat Islam ke masjid pada tempoh ini merupakan suatu keuzuran yang diambil kira di sisi syarak iaitu wujudnya perasaan takut akan jangkitan virus ini.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa memang benar terdapatnya ancaman terhadap mereka yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali secara berturut-turut di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu al-Ja’d al-Dhamri (sebahagian menyatakan Al-Dhumairi) R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ ثَلاَثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ
“Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat jumaat kerana mengambil mudah akannya, nescaya Allah akan mengunci jantung hatinya.” [Riwayat Abu Daud (1052)]

Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ
“Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang darurat maka Allah akan mengunci mati jantung hatinya.” [Riwayat Al-Nasa’ie (1370)]

Kedua riwayat hadith di atas jelas menunjukkan kepada kita ancaman dan amaran yang terdapat di dalam hadith tersebut terikat dengan keadaan meninggalkan solat Jumaat kerana mengambil enteng, meremehkan ia, serta meninggalkan perlaksanaannya tanpa sebarang darurat.

Syeikh Badruddin al-‘Aini dalam syarahan beliau terhadap hadith riwayat Abu Daud di atas berkata: “Bab ini menjelaskan tentang kerasnya ancaman bagi perbuatan meninggalkan solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran.” Beliau menambah, perkataan تهاونا بها membawa maksud: “(Meninggalkannya) kerana malas serta culas dalam melakukannya.” [Rujuk: Syarah Abi Daud, Badr al-Din al-‘Aini (4/371)]

Manakala Mulla ‘Ali al-Qari ketika mengulas hadith tersebut menukilkan kata-kata Al-Thibi yang menyebut: “(Iaitu meninggalkannya dengan tujuan menghina).” Kemudian dinukilkan pendapat ulama' lain yang menyebut: “Meninggalkannya kerana mengambil mudah.” [Rujuk: Mirqaat al-Mafatih, Mulla ‘Ali al-Qari (3/1024)]

Maka jelas kepada kita bahawa ancaman yang dimaksudkan di dalam hadith di atas merupakan ke atas mereka yang meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan di sisi syarak. Manakala mereka yang meninggalkan solat Jumaat disebabkan ada keuzuran, maka mereka tidak termasuk dalam ancaman tersebut. Sebaliknya, diberikan ganjaran sama seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
“Apabila seseorang hamba itu sakit atau bermusafir, akan ditulis buat dirinya ganjaran sama seperti yang diamalkannya semasa bermukim atau sihat.” [Riwayat Al-Bukhari (2996)]

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah kami meneliti beberapa nas dan hujahan yang dikemukakan di atas, maka kami berpendapat sekiranya tempoh kawalan pergerakan ini mengambil masa yang lama sehingga membawa kepada terlepasnya perlaksanaan solat Jumaat sebanyak tiga kali, mengambil kira faktor takut merebaknya COVID-19 dengan lebih meluas, maka mereka yang meninggalkan solat Jumaat disebabkan keuzuran ini tidak termasuk di dalam ancaman yang terdapat di dalam hadith-hadith tersebut. Wallahua’lam.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media