Hukum Meminta Semula Hadiah Yang Diberikan


SOALAN:
Individu A memberikan hadiah kepada individu B. Kemudian, setelah 2 bulan, individu A meminta semula hadiah yang diberikannya kepada individu B. Adakah boleh perbuatan itu? Apakah hukumnya? Mohon pencerahan.

JAWAPAN:
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah SWT:

فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا
“Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah al-Nisa’: 4)

Ayat ini menerangkan bahawa apabila seorang isteri memberikan sesuatu dari maharnya kepada suaminya selepas mahar tersebut diserahkan kepadanya (isteri), maka diharuskan bagi suami tersebut untuk menerimanya. Dan ia adalah perkara yang baik selagimana dalam keredhaan. Justeru, jelas melalui ayat ini, Allah SWT telah mensyariatkan hibah dan menyatakan keharusannya. Ini dikuatkan juga dengan sabda Nabi Muhammad SAW:

تهادُوْا تحابُّوا
“Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai.” [Riwayat al-Bukhari (594)]

Hadith ini merupakan galakan daripada Nabi Muhammad SAW buat umatnya. Maka, sudah jelas terang lagi bersuluh bahawa hibah merupakan sunnah berdasarkan kepada nas al-Quran, hadith Nabi Muhammad SAW dan juga ijma’ ulama’. Sebelum diulas lanjut berkenaan hadiah, maka perlu kita bezakan terlebih dahulu pengertian hibah, hadiah dan juga sedekah.

Hibah ialah suatu akad yang merujuk kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian, ketika masih hidup dan dilakukan secara sukarela. Pada dasarnya, ia mempunyai persamaan dengan hadiah dan juga sedekah dari sudut pengertian, bahkan ia lebih umum berbanding keduanya. Namun, ia juga mempunyai perbezaan.

Sedekah pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang memerlukan, biasanya sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah dan beroleh pahala. Manakala hadiah pula pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang mahu didekati dan dikasihi. Biasanya ia membabitkan pemindahan barangan yang dihadiahkan kepada penerima. Justeru itu, ulama’ mengatakan setiap hadiah atau sedekah merupakan hibah, dan bukan semua hibah adalah hadiah ataupun sedekah. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 6/116]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, ia berkait rapat dengan rukun-rukun hibah. Rukun-rukun ini ialah:

  • Pemberi dan penerima
  • Sighah Aqad (Ijab dan Qabul)
  • Barangan yang dihibahkan atau dihadiahkan

Penerimaan Hibah

Pada dasarnya, akad ini tidak sempurna hanya dengan sighah akad iaitu lafaz ijab dan qabul. Bahkan perlunya kepada penerimaan barangan hibah atau hadiah tersebut. Ini bermakna, jika seseorang mengucapkan lafaz ingin memberikan hadiah kepada seseorang namun barangan yang ingin dihadiahkannya itu masih lagi dalam milikannya atau dalam erti kata yang lain, barangan tersebut belum lagi diserahkan kepada si penerima, maka pemberi hadiah ini berhak untuk menarik semula keinginannya itu atau melakukan apa sahaja terhadap barang tersebut atau juga menggunakannya mengikut apa sahaja kemahuannya.

Justeru, akad ini akan menjadi sempurna dan berkuatkuasa hanya setelah apabila hadiah tersebut diterima dan memenuhi syarat-syarat bagi hibah atau hadiah, maka sahlah pemilikannya (penerima) ke atas barangan hibah itu. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 6/126, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 3/182]

Meminta Semula Hadiah/Hibah

Asal bagi akad hadiah mahupun hibah adalah kedua-duanya merupakan akad tabarru’at (kebajikan) dan bukannya akad mu’awadhat (pertukaran). Maka, dalam hal kebajikan, tidak berlakunya pertukaran barangan seperti mana urusan jual beli dan lain-lain.

Seperti yang dibincangkan dalam perihal di atas, asas akad hibah atau hadiah ini ialah apabila sempurnanya rukun-rukun dan juga syarat-syaratnya, serta telah sempurna penerimaan barangan hadiah/hibah tersebut, maka jelaslah ia merupakan hak milik si penerima, tanpa perlu kepada sebarang pertukaran sepertimana jual beli.

Sehubungan dengan itu, tidak dibenarkan atau tidaklah dibolehkan bagi si pemberi untuk meminta semula hadiah/hibah yang telah diberikannya melainkan seorang ayah meminta semula harta yang telah diberikan kepada anaknya atau sesorang yang melakukan hibah dengan syarat pertukaran.

Maka, dalil bagi perbuatan ini adalah berdasarkan kepada hadith Nabi Muhammad SAW:

«العَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالعَائِدِ فِي قَيْئِهِ»
“Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya.” [Riwayat al-Bukhari (2621)]

Atau dalam riwayat yang lain:

«لَيْسَ لَنَا مَثَلُ السَّوْءِ، الَّذِي يَعُودُ فِي هِبَتِهِ كَالكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ»
“Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu orang yang meminta semula anugerah (hibah) mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.” [Riwayat al-Bukhari (2622)]

Justeru itu, melalui kedua-dua hadith ini, jelas menunjukkan larangan dan juga betapa buruknya sikap mereka yang meminta semula pemberian itu. Maka, Dr.Wahbah al-Zuhaili berkata:

فالرجوع في القيء حرام، فكذلك الرجوع في الهبة، وأن ذلك مثل السوء الذي يتنافى مع أخلاق المسلم
“Maka menelan semula muntah adalah haram. Begitu juga meminta semula hibah/hadiah yang telah diberikan. Dan sesungguhnya ia adalah perbuatan dan juga sikap yang buruk, lantas ia bukanlah akhlak seorang Muslim.” [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 3/184]

Penutup

Kesimpulannya, hukum meminta semula hadiah yang telah diberikan kepada seseorang adalah haram melainkan tuntutan semula seorang ayah terhadap anaknya dan juga hibah yang diberikan berserta syarat pertukaran. Akhir kalam, kami menasihati orang ramai agar menjauhkan diri dari bersikap dengan perbuatan ini iaitu meminta semula hadiah, kerana ia merupakan perbuatan yang buruk dan tidak sesuai dengan akhlak seorang Muslim. Semoga Allah SWT meletakkan keikhlasan dalam diri kita dalam hal kebajikan, murahkan rezeki kita agar dapat perbanyakkan diri dengan amalan-amalan kebajikan. Semoga Allah SWT memberkati segala amal kebajikan kita semua.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media