SOALAN:
Seperti yang saya ketahui sebelum ini, apabila seseorang membuat umrah di Makkah, dibolehkan untuk dia melakukan solat sunat pada bila-bila masa termasuk ketika waktu yang diharamkan solat. Adakah benar perkara ini? Kalau benar, adakah solat sunat tersebut boleh dilakukan di Masjidil Haram sahaja atau boleh di mana-mana kawasan tanah haram?
JAWAPAN:
Secara asalnya, diharamkan untuk melakukan solat sunat ketika waktu yang diharamkan solat. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas R.A:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنِ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَشْرُقَ الشَّمْسُ، وَبَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ
“Sesungguhnya Nabi SAW, telah melarang dari melakukan solat (sunat) selepas solat Subuh sehingga terbitnya matahari dan selepas solat Asar sehingga terbenamnya matahari.” [Riwayat Al-Bukhari (581)]
Namun, pengharaman tersebut dikecualikan bagi seseorang yang berada di Masjidil Haram. Pandangan ini merupakan pandangan mazhab Syafie yang membenarkannya secara mutlak tanpa mengkhususkan solat sunat tawaf semata-mata seperti pandangan masyhur dalam mazhab Hanbali. (Lihat: Syarh al-Muhazzab, 4/177)
Pengecualian ini bersandarkan hadith daripada Jubair bin Mut’im R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
لا تَمْنَعُوا أَحَدًا يَطُوفُ بِهَذَا الْبَيْتِ وَيُصَلِّي أَىَّ سَاعَةٍ شَاءَ مِنْ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ
“Jangan kamu halang seseorang yang ingin melakukan tawaf di rumah Allah ini (Kaabah) dan solat pada setiap waktu yang mereka inginkan pada waktu malam ataupun siang.” [Riwayat Abu Daud (1894)]
Seterusnya, ulama’ Syafieyyah berbeza pandangan sama ada keharusan tersebut hanya terpakai di Masjidil Haram semata-mata atau di kawasan tanah haram seluruhnya. Seusai penjelasan berkenaan keharusan untuk melakukan solat sunat ketika waktu yang diharamkan, Imam Nawawi rhm. (wafat 676H) menyebut:
وَالْمُرَادُ بِمَكَّةَ الْبَلْدَةُ وَجَمِيعُ الْحَرَمِ الَّذِي حَوَالَيْهَا وَفِي وَجْهٍ إنَّمَا تُبَاحُ فِي نَفْسِ الْبَلْدَةِ دُونَ بَاقِي الْحَرَمِ وَفِي وَجْهٍ ثَالِثٍ حَكَاهُ صَاحِبُ الْحَاوِي عَنْ الْقَفَّالِ الشَّاشِيِّ إنَّمَا تُبَاحُ فِي نَفْسِ الْمَسْجِدِ الَّذِي حَوْلَ الْكَعْبَةِ لَا فِيمَا سِوَاهُ مِنْ بُيُوتِ مَكَّةَ وَسَائِرِ الْحَرَمِ وَالصَّحِيحُ الْأَوَّلُ صَحَّحَهُ الْأَصْحَابُ وَحَكَاهُ صَاحِبُ الْحَاوِي عَنْ أَبِي اسحق الْمَرْوَزِيِّ هَذَا تَفْصِيلُ مَذْهَبِنَا
“Apa yang dimaksudkan sebagai kawasan ‘Makkah’ (yang dibenarkan solat sunat ketika waktu diharamkan) ialah:
Pandangan Pertama: Kota Makkah dan seluruh kawasan tanah haram sekitarnya.
Pandangan kedua: Kota Makkah sahaja.
Pandangan ketiga: Pengarang kitab al-Hawi (al-Mawardi, wafat 450H) menukilkan pandangan al-Qaffal al-Syasyi (wafat 365H) bahawa diharuskan solat di masjid sekeliling Kaabah (Masjidil Haram) sahaja, tidak selainnya termasuklah rumah-rumah kediaman dan seluruh tanah haram yang lain.
Tafsiran yang sahih bagi menerangkan maksud Makkah di sisi mazhab Syafieyyah ialah tafsiran pertama. Ini berdasarkan pandangan Abu Ishak al-Marwazi Rhm. (wafat 340H) seperti yang dinukilkan oleh pengarang kitab al-Hawi.” (Lihat: Syarh al-Muhazzab, 4/179)
Berdasarkan pandangan Imam Nawawi di atas, kami cenderung mengatakan bahawa keharusan solat sunat ketika waktu yang diharamkan tidak terhad di kawasan Masjidil Haram sahaja bahkan menjangkaui kawasan sekitarnya termasuk hotel-hotel berdekatan, rumah kediaman dan selainnya selagi mana termasuk dalam lingkungan yang dikategorikan sebagai tanah haram (al-Haram al-Makkiy).
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media