SOALAN:
Apa hukum seseorang yang baru lepas menghisap rokok atau memakan makanan yang berbau kurang enak untuk hadir solat berjemaah di masjid?
JAWAPAN:
Hadir ke masjid bagi menunaikan ibadah merupakan suatu ibadah yang amat dituntut di sisi syarak. Begitu banyak nas yang menunjukkan kepada anjuran tersebut. Antaranya adalah sebuah hadith yang diriwayatkan Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلاً كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ
“Sesiapa yang pergi ke masjid pada waktu pagi atau petang, Allah akan menghitungnya sebagai tetamu di syurga setiap kali dia pergi pada kedua waktu tersebut.” [Riwayat Muslim (669)]
Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadith ini berkata: “Pada hadith ini terdapatnya anjuran untuk menghadiri solat secara berjemaah dan juga melazimi masjid-masjid bagi mendirikan solat.” [Rujuk: Syarah Al-Bukhari, Ibn Battal (2/285)]
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami katakan bahawa memang terdapat larangan yang khusus kepada mereka yang memakan makanan yang berbau busuk supaya tidak mendekati atau dalam kata lain menghadiri masjid. Dalam keadaan tidak dibersihkan mulut terlebih dahulu dari bauan tersebut. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ ـ يَعْنِي الثُّومَ ـ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا
“Sesiapa yang makan dari pohon ini -iaitu bawang putih- maka janganlah dia mendekati masjid kami.” [Riwayat Al-Bukhari (853)]
Fiqh dan faedah yang boleh dikeluarkan dari hadith ini adalah, dilarang bagi seseorang yang memakan makanan yang berbau busuk untuk menghadirkan diri ke masjid bagi solat berjamaah. Ini kerana, solat berjemaah bukan semata melibatkan hubungan seseorang dengan Allah SWT, bahkan dalam masa yang sama ia melibatkan hubungan manusia dengan manusia-manusia yang lain. Islam merupakan agama yang meraikan perasaan dan keselesaan orang lain, justeru dilarang bagi mereka yang baru lepas memakan makanan yang berbau untuk hadir ke masjid dan juga tempat-tempat ibadah lain yang terdapat padanya orang ramai.
Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadith ini berkata: “Para ulama' mengqiaskan ke atas hadith ini juga terhadap tempat-tempat solat yang lain selain dari masjid seperti musolla hari raya, solat jenazah, dan seumpamanya daripada tempat-tempat orang ramai berkumpul bagi beribadah. Demikian juga tempat-tempat orang berkumpul untuk menuntut ilmu, majlis zikir, kenduri-kenduri kahwin dan sebagainya. Namun ia tidak terkait dengan pasar-pasar dan tempat seumpamanya.” [Rujuk: Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (5/48)]
Kami juga menambah bahawa larangan di dalam hadith tersebut tidaklah merujuk kepada bawang putih atau bawang merah sahaja, bahkan turut meliputi segala makanan lain atau selain makanan seperti rokok yang menghasilkan bauan yang busuk yang boleh menyebabkan gangguan pada para jemaah yang lain. Ini kerana dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW menyebut:
وَلاَ يُؤْذِيَنَّا بِرِيحِ الثُّومِ
“Janganlah dia menyakiti kami dengan bau bawang tersebut.” [Riwayat Muslim (562)]
Maka setiap bauan yang menyakiti para jemaah turut termasuk dalam larangan di dalam hadith ini. Manakala berkenaan dengan larangan di dalam hadith ini, adakah ia merujuk kepada hukum haram atau makruh, maka kami katakan bahawa para ulama' menghukumkan ia sebagai perbuatan yang makruh dan tidak sampai kepada hukum haram.
Penutup
Sebagai kesimpulan, setelah kami meneliti nas dan hujahan di atas kami menyatakan bahawa hadir ke masjid setelah menghisap rokok atau makanan yang berbau adalah dimakruhkan. Ini kerana, bauan yang terhasil darinya akan menyebabkan gangguan kepada para jemaah. Namun begitu, sekiranya seseorang itu telah membersihkan mulutnya dari bauan busuk tersebut maka tiada larangan kepadanya untuk pergi ke masjid kerana telah ternafi illah larangan. Ini berdasarkan kaedah feqah:
الحكم يدور مع علله وجودا وعدما
“Hukum itu berlegar bersama illahnya dari sudut wujud hukum atau tiada.”
Dalam makna yang lain, sekiranya ada illah maka adalah hukum dan sekiranya telah tiada illah maka tiadalah hukum.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media