COVID-19:Usahawan Diseru Sertai SUT




KUALA TERENGGANU, 30 Mac-Semua usahawan di negeri ini diseru agar mendaftar untuk menjadi sebahagian daripada Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) di bawah kelolaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, bermula 1 Februari sehingga 30 April ini, pendaftaran SUT dibuka secara percuma kepada usahawan-usahawan di Terengganu.

"Sebelum ini, pendaftaran untuk SUT dikenakan bayaran sebanyak RM10 namun sehingga 30 April ini, ianya adalah percuma. Hanya klik pada pautan atau imbas kod QR sahaja.

"Kami di YPU amat menggalakkan usahawan di Terengganu untuk mendaftarkan diri sebagai ahli SUT dimana pelbagai kemudahan dibekalkan kepada mereka termasuk bantuan kewangan, kursus dalam meningkatkan perniagaan serta banyak lagi,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun demikian, bagi meringankan beban kepada usahawan terutama yang terjejas akibat Covid-19 disarankan agar dapat mendaftarkan diri sebelum 7 April 2020 untuk memudahkan urusan YPU memperoleh data untuk membantu mereka.

"Ramai usahawan di sini telah terjejas dalam menghadapi krisis yang dilihat kini kian meruncing terutamanya usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

"Jadi, ini adalah salah satu kecaknaan YPU kepada usahawan dalam menghadapi Covid-19," katanya lagi.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 2006, seramai 3,145 usahawan telah berdaftar sebagai SUT.

Tambahnya, sepanjang 2019 sahaja, 912 usahawan telah mendaftarkan diri untuk mendapat manfaat yang ditawarkan oleh YPU.

"Untuk suku pertama tahun ini, hanya 292 usahawan sahaja yang telah mendaftarkan diri.

"Oleh itu, kami amat berharap agar usahawan-usahawan lain di Terengganu mendaftarkan diri agar YPU dapat membantu anda terutama dalam keadaan sekarang dimana ramai yang terkesan akibat Covid-19,"ujar Ahmad Farhan.

Untuk maklumat, terdapat tiga kaedah yang disediakan oleh YPU untuk pendaftaran SUT samada melalui pautan http://bit.ly/DaftarSahabatUsahawanYPU atau saluran telegram https://t.me/SahabatUsahawanTerengganu 

Usahawan juga boleh mengimbas kod QR yang disediakan bagi memohon menjadi sebahagian daripada SUT.



Sumber: teganukita.net