COVID-19 : SUKMA Johor Ditangguh


KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 yang dijadualkan berlangsung Julai ini  akan ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira beberapa aspek yang melibatkan pasukan bertanding dan penganjur.

"Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dengan sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan SUKMA Johor ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"Setelah mengambil kira aspek yang paling utama iaitu keselamatan dan kesihatan para atlet, jurulatih, pegawai dan semua yang terlibat dalam temasya itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan, pihaknya telah mengenal pasti dua cadangan tarikh yang menjadi pilihan untuk dilangsungkan SUKMA.

Katanya, tarikh yang menjadi pilihan majoriti (ahli mesyuarat) ialah Disember 2020 atau dianjakkan ke tahun 2021 setelah meneliti beberapa aspek.

"Aspek utama ialah pemantauan berterusan dengan perkembangan COVID-19 di samping tarikh yang dicadang juga tidak bertindih dengan tarikh penting lain seperti peperiksaan awam.

"Kita juga meneliti kepentingan semua pemegang taruh SUKMA dan kerajaan Johor sebagai tuan rumah," jelasnya.

Tambah beliau, keputusan mengenai tarikh baharu tersebut akan diumumkan selewat-lewatnya Mei depan.



Sumber: teganukita.net