Dr Azman (kanan). |
Oleh : Hidayah Azlin
SETIU, 22 Mac – Rakyat yang menghadapi masalah kewangan semasa arahan Kawalan Pergerakan ekoran wabak COVID-19 akan diberikan bantuan dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, menyedari kesan daripada kawalan itu, penekanan terhadap isu kebajikan rakyat yang kurang berkemampuan dijadikan keutamaan untuk diberi perhatian.
Katanya, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi telah mengenalpasti golongan untuk disalurkan bantuan.
"Ia adalah bantuan di musim bencana, diberikan hanya kepada mereka yang dalam kesempitan sahaja. Bukannya bantuan untuk kita agih merata kepada semua orang.
"Harap saudara-saudara kita yang sedikit berkemampuan memahami situasi yang sedang kita lalui bersama ini. Dahulukan saudara kita yang lebih memerlukan lebih dari diri sendiri," katanya dalam satu kenyataan rasmi semalam.
Menurut beliau lagi, dengan keterbatasan yang ada, bantuan diagihkan melalui MPKK terus kepada golongan sasar dengan impak perhubungan yang paling minima.
"Memang hasrat hati saya nak pergi agih sendiri bantuan dari rumah ke rumah. Namun, situasi perintah kawalan pergerakan tidak mengizinkan kita buat seperti agihan bantuan musim banjir.
"MPKK tak perlu nak ‘posing’ tangkap gambar masuk ‘Facebook’. Kita juga tak menggunakan kaedah sesiapa yang memerlukan bantuan diminta hadir ke Pejabat ADUN kerana kaedah ini akan menyebabkan rakyat berhimpun dan beratur.
"Kalau ada lagi di kalangan rakyat yang miskin dan terlepas pandang oleh pihak MPKK, harap dapat berhubung dengan MPKK masing-masing. Bantuan akan disalurkan dengan kadar seberapa segera," tambahnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan agar anggota masyarakat sentiasa menjaga diri dan keluarga dengan sebaiknya bagi mengatasi penularan wabak COVID-19.
Sumber: teganukita.net