Notis kuarantin ditampal di pagar madrasah di Kuala Terengganu. Foto Ihsan - Harian Metro |
Difahamkan, penutupan madrasah didiami lebih 300 orang termasuk pelajar tahfiz, tenaga pengajar dan staf sokongan itu dipercayai ada kaitan dengan kes ahli tabligh singgah di madrasah berkenaan disyaki positif Covid-19 pada pemeriksaan peringkat awal.
Lelaki terbabit dikatakan pernah menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling, Selangor pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu dan sudah dihantar ke wad isolasi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu (PKDKT) ada menghubungi polis pada 9 pagi semalam bagi mendapatkan bantuan membuat kawalan terhadap penghuni madrasah dari keluar dan menghalang kemasukan orang luar di premis berkenaan.
Tinjauan NSTP mendapati polis membuka pusat kawalan tempat kejadian manakala kakitangan pejabat kesihatan daerah dilihat melakukan kerja-kerja pembersihan dan membuat pemeriksaan kesihatan terhadap warga madrasah berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus ketika dihubungi mengesahkan penutupan madrasah berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, polis menubuhkan pusat kawalan tempat kejadian sejak semalam dengan dua pegawai dan 10 anggota ditempatkan di madrasah berkenaan bagi membuat kawalan.
Katanya, polis akan membuat kawalan 24 jam sepanjang tempoh kuarantin itu.
SUMBER: HARIAN METRO
Sumber: teganukita.net