SOALAN:
Bolehkah seorang lelaki kahwin dengan kakak iparnya (kakak isteri) selepas menceraikan isterinya, tapi isterinya masih dalam iddah? Mohon pencerahan, terima kasih.
JAWAPAN:
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَاأَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya -Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya -zuriat keturunan- lelaki dan perempuan yang ramai.” [Surah al-Nisa’ (1)]
Islam mensyariatkan perkahwinan antara lelaki dan perempuan serta menggariskan panduan yang sempurna untuk menjamin keharmonian masyarakat, kesejahteraan sebuah keluarga dan untuk mengekalkan generasi manusia sebagai khalifah di dunia ini.
Namun, tatkala Islam mensyariatkan dan menggalakkan perkahwinan, Islam juga mengharamkan sebahagian perempuan untuk dikahwini bersesuaian dengan maqasid atau tujuan pensyariatan perkahwinan itu sendiri dalam membina keluarga yang teratur dan tersusun.
Perempuan yang Haram Dikahwini
Berdasarkan kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/28-41), kami simpulkan seperti berikut:
Perempuan yang diharamkan untuk dikahwini terbahagi kepada dua keadaan iaitu haram berkahwin untuk selama-lamanya (المحرمات حرمة مؤبدة) dan haram dinikahi untuk sementara waktu (المحرمات حرمة مؤقتة).
Pengharaman secara kekal ini bemaksud seorang lelaki tidak boleh mengahwini sebahagian perempuan untuk selama-lamanya walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
Terdapat tiga sebab pengharaman secara kekal, iaitu:
- Nasab atau hubungan kerabat iaitu ibu, nenek, anak perempuan, adik-beradik perempuan kandung, sebapa atau seibu, anak perempuan kepada adik-beradik lelaki atau perempuan dan ibu saudara sebelah bapa atau sebelah ibu.
- Hubungan persemendaan, musaharah (disebabkan perkahwinan) iaitu ibu tiri, nenek tiri sebelah ibu atau bapa, menantu perempuan, isteri cucu, ibu mertua dan anak tiri perempuan.
- Hubungan penyusuan iaitu ibu susuan, adik-beradik perempuan susuan, anak perempuan daripada adik-beradik susuan, ibu saudara susuan dan anak perempuan susuan.
- Haram juga berkahwin disebabkan oleh gabungan hubungan perkahwinan dan susuan seperti ibu susuan kepada isteri anak perempuan susuan isteri, isteri bapa susuan dan isteri anak susuan.
Rasulullah SAW bersabda:
يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ
“Diharamkan dengan susuan apa yang diharamkan dengan nasab (keturunan).” [Riwayat al-Bukhari (2645)]
Oleh itu, golongan perempuan ini adalah golongan yang haram dikahwini walaupun hilang sebabnya sebagai contoh, seorang lelaki sudah bercerai dengan isterinya namun ibu mertua tetap menjadi haram untuk dikahwini untuk selama-lamanya.
Pengharaman yang sementara pula bermaksud perempuan yang haram dikahwini untuk sementara waktu atas sebab-sebab tertentu. Apabila sebab tersebut hilang, maka perempuan tersebut boleh dikahwini. Sekiranya perempuan itu dikahwini sebelum hilang sebab pengharamannya, maka perkahwinan tersebut batal.
Perempuan yang haram dikahwini untuk sementara waktu ialah:
- Menghimpunkan dua saudara (adik-beradik) perempuan sama ada dalam akad yang sama atau akad yang berlainan. Sekiranya dalam akad yang sama, maka perkahwinan tersebut batal. Dan sekiranya akad yang berbeza, maka akad yang kedua adalah batal.
- Menghimpunkan seorang perempuan dengan ibu saudaranya sebelah bapa atau sebelah ibu; atau dengan anak saudaranya daripada adik beradik kandung, sebapa atau seibu.
- Berkahwin lebih daripada empat. Justeru seorang lelaki tidak boleh mengahwini perempuan yang kelima.
- Perempuan musyrik yang menyembah berhala melainkan setelah dia memeluk Islam.
- Perempuan yang sudah berkahwin.
- Perempuan yang masih dalam iddah sama ada talaq raj’ie, talaq ba’in atau kematian suami.
- Isteri yang ditalaqkan dengan talaq tiga, maka haram suami mengawininya sama ada ketika iddah atau selepas iddah melainkan selepas isteri tersebut telah berkahwin dengan lelaki lain dan diceraikan.
Berbalik kepada persoalan, perkahwinan antara suami dan kakak ipar (kakak isteri) adalah haram walaupun isteri telah diceraikan tetapi masih dalam iddah. Ini berdasarkan dalil yang menjelaskan sebahagian perempuan yang diharamkan untuk berkahwin. Firman Allah SWT:
وَأَنْ تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ
“Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu).” [Surah al-Nisa’ (23)]
Ini kerana hikmah haram berkahwin dengan mengumpulkan dua adik-beradik perempuan dalam sebuah perkahwinan adalah untuk mengelakkan sebarang mafsadah dalam hubungan persaudaraan. Sekiranya dibenarkan perkahwinan ini maka akan berlakulah perbalahan antara mereka yang mana kedua-duanya mempunyai hasad dengki dan saling cemburu yang boleh menyebabkan mereka membuka keaiban antara satu sama lain sehingga terputus hubungan silaturrahim.
Ini berdasarkan sebuah hadith:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَنْ تُنْكَحَ الْمَرْأَةُ عَلَى قَرَابَتِهَا مَخَافَةَ الْقَطِيعَةِ
“Rasulullah SAW melarang perempuan dikahwinkan sekali (dimadukan) dengan saudara-maranya kerana dibimbangi akan memutuskan silaturrahim.” [Riwayat Abu Daud dalam al-Marasil (208) dan al-Syaukani dalam Nail al-Awtar (6/147)]
Oleh itu, golongan perempuan ini haram untuk dikahwini sehingga hilang sebab pengharamannya iaitu selepas berlaku talak. Namun, harus dilihat keadaan semasa perkahwinan dengan perempuan tersebut sama ada isteri yang diceraikan sudah tamat iddah atau belum dan diceraikan dengan talak raj’ie atau talak ba’in atau disebabkan meninggal dunia.
Menurut Syeikh al-Muti’ie:
وإن تزوج بامرأة ثم طلقها وأراد أن يتزوج بأختها أو عمتها أو خالتها أو تزوج أربع نسوة وطلقهن واراد أن ينكح أربعا غيرهن أو طلق واحدة منهن وأراد أن يتزوج غيرها فان كان الطلاق قبل الدخول يصح تزويجه بلا خلاف، لانه لا عدة له على المطلقة، وان كان بعد الدخول فان كان الطلاق رجعيا لم يصح تزويجه قبل انقضاء العدة، لان المطلقة في حكم الزوجات، وإن كان الطلاق بائنا صح تزويجه عندنا قبل انقضاء العدة... دليلنا أن المطلقة بائن منه... كالبائن قبل الدخول
“Sekiranya seorang lelaki mengahwini seorang perempuan kemudian menceraikannya dan ingin berkahwin dengan saudara perempuan isterinya atau ibu saudara sebelah bapa atau ibu saudara sebelah ibu, ataupun seorang lelaki berkahwin dengan empat orang perempuan kemudian menceraikan semua isterinya dan ingin berkahwin dengan empat orang perempuan yang lain atau menceraikan salah seorang daripada isteri-isterinya kemudian ingin berkahwin dengan seorang perempuan lain; jika diceraikan sebelum bersetubuh dengannya maka sah perkahwinan lelaki tersebut mengikut sepakat (fuqaha’). Ini kerana tiada iddah bagi isteri yang diceraikan itu.
Jika selepas bersetubuh dengan isterinya dan diceraikan dengan talaq raj’ie, tidak sah perkahwinan lelaki tersebut sebelum tamat ‘iddah. Ini kerana isteri yang ditalaqkan dengan talaq raj’ie masih dianggap isterinya sebelum tamat ‘iddah.
Jika talaq tersebut adalah talaq ba’in maka, sah pada pendapat kami (mazhab Syafie) perkahwinan tersebut walaupun belum tamat iddahnya… dalil kami ialah isteri yang ditalaq ba’in sudah terpisah daripada suaminya seperti talaq ba’in sebelum berlaku al-dukhul (persetubuhan).” [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 16/227]
Justeru tidak sah perkahwinan seorang lelaki dengan adik-beradik perempuan isterinya atau ibu saudara isterinya kecuali selepas isteri tersebut meninggal dunia atau diceraikan dengan talak ba’in atau telah tamat iddahya sekiranya diceraikan dengan talak raj’ie. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 4/37]
Penutup
Tuntasnya, seorang lelaki diharamkan berkahwin dengan perempuan yang diharamkan sama ada penghaman tersebut secara kekal (muabbad) atau pengharaman tersebut sementara (muaqqat) atas sebab-sebab tertentu. Jika pengharaman tersebut adalah haram yang kekal, maka tidak boleh dikahwini perempuan tersebut walau dalam apa jua keadaan. Namun jika pengharaman itu bersifat sementara, maka boleh dikahwini perempuan tersebut apabila hilang sebab pengharamannya.
Berdasarkan persoalan yang diajukan, sekiranya isteri masih dalam tempoh iddah, tidak sah perkahwinan suami tersebut dengan kakak iparnya (kakak isteri). Ini kerana perempuan yang berada dalam tempoh iddah masih dalam hukum isteri kepada bekas suaminya sehingga tamat iddah tersebut. Maka perkahwinan ini diharamkan secara sementara (muaqqat) kerana haram mengumpulkan dua adik-beradik perempuan dalam sebuah perkahwinan kerana ia boleh mendatangkan pelbagai mafsadah (keburukan) kepada hubungan persaudaraan seperti yang telah dibahaskan di atas.
Namun, dibolehkan dan sah perkahwinan suami dengan kakak isterinya sekiranya isterinya telah meninggal dunia atau telah diceraikan dengan talak ba’in atau telah tamat iddahnya jika diceraikan dengan talak raj’ie . Ini kerana sebab pengharamannya telah hilang.
Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman untuk mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna dan diterima oleh-Nya. Wallahua’lam.
Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media