Benarkah Pahala Dan Dosa Diberatkan Dalam Bulan-Bulan Haram (Suci)?


SOALAN:
Benarkah jika seseorang buat amal soleh dalam bulan haram pahalanya lebih besar berbanding bulan-bulan lain dan bagaimana pula dengan maksiat? Mohon pencerahan.

JAWAPAN:
Secara umumnya Allah SWT mempunyai dua sifat perbuatan yang utama iaitu menciptakan dan setelah itu Dia melakukan pemilihan. Ini jelas dilihat berdasarkan firman Allah SWT:

وَرَبُّكَ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَيَخْتَارُ
“Dan Tuhan kamu Dia menciptakan apa sahaja yang Dia kehendaki dan Dia melakukan pemilihan (yang terbaik dari kalangan makhluk-Nya).” [Surah Al-Qasas (68)]

Justeru, berdasarkan ayat di atas ini, kita jelas bahawa seluruh makhluk diciptakan oleh Allah SWT, namun kedudukan dan kemuliaan makhluk sesama mereka adalah tidak sama antara satu sama lain disebabkan pilihan yang dilakukan oleh Allah SWT. Sebagai contoh, Allah SWT menciptakan masa dan dalam masa yang sama Allah memilih masa-masa tertentu yang lebih baik serta mempunyai kebaikan yang banyak di dalamnya. Antaranya adalah firman Allah SWT:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ
“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah sebanyak dua belas bulan, seperti yang ditetapkan pada hari Dia menciptakan langit-langit dan juga bumi. Antaranya adalah empat bulan haram. Yang demikian itu adalah agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu di dalam bulan-bulan tersebut (bulan haram).” [Surah Al-Taubah (36)]

Bulan-bulan haram yang empat tersebut adalah bulan Muharram, Rejab, Zulqa’dah dan Zulhijjah. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
“Sesungguhnya masa itu beredar seperti keadaan asalnya pada hari Allah menciptakan langit-langit dan juga bumi. Setahun itu ada dua belas bulan, dan ada empat bulan-bulan haram. Tiga yang berturut-turut, iaitu Zulka’dah, Zulhijjah, dan Muharram, serta bulan Rejab Mudhar yang berada di antara Jumada (al-Akhir) dan juga Sya’ban.” [Riwayat Al-Bukhari (184)]

Bulan-bulan haram membawa maksud dua iaitu pertama, bulan-bulan yang diharamkan untuk berperang di dalamnya. Kedua, bulan haram membawa maksud bulan yang sangat dihormati lagi dimuliakan.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami nyatakan bahawa setiap yang mempunyai kemuliaan dan kelebihan di sisi Allah SWT sudah tentu menatijahkan ganjaran dan hukuman yang berbeza berkaitannya. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu solat di dalam Masjid Al-Nabawi maka ganjaran pahalanya lebih besar berbanding solat di masjid-masjid selainnya kecuali Masjid al-Haram. Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ
“Solat di dalam masjid aku ini (Masjid Al-Nabawi) adalah lebih afdhal sebanyak seribu kali ganda solat di dalam masjid selainnya, melainkan Masjid al-Haram.” [Riwayat Muslim (1395)]

Manakala berkenaan isu adakah dosa-dosa di dalam bulan-bulan haram itu lebih berat berbanding selainnya, maka ini adalah pendapat Imam Ibn Katsir dalam tafsiran beliau ke atas ayat ke- 36 dari surah Al-Taubah tersebut. Beliau berkata:

كَمَا نَهَى تَعَالَى عَنِ الظُّلْمِ فِي الْأَشْهُرِ الْحُرُمِ، وَإِنْ كَانَ فِي جَمِيعِ السَّنَةِ مَنْهِيًّا عَنْهُ، إِلَّا أَنَّهُ فِي الْأَشْهُرِ الْحُرُمِ آكَدُ
“Sebagaimana Allah SWT melarang perbuatan zalim (maksiat) di dalam bulan-bulan haram. Sekalipun ia dilarang sepanjang tahun cumanya ia lebih berat apabila dilakukan di dalam bulan-bulan haram.” [Rujuk: Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim, Ibn Katsir (1/545)]

Begitu jugalah keadaannya dengan ganjaran pahala bagi amalan soleh yang dilakukan di dalam bulan-bulan haram ini adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. Bahkan Imam Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan pendapat Ibn Abbas R.A yang menyebut:

اختص الله أربعة أشهر جعلهن حرما وعظم حرماتهن وجعل الذنب فيهن أعظم وجعل العمل الصالح والأجر أعظم
“Allah SWT telah mengkhususkan empat bulan dan menjadikan mereka sebagai bulan-bulan haram dan membesarkan kehormatan mereka. Dia juga menjadikan dosa-dosa padanya itu lebih berat serta menjadikan amalan soleh dan ganjaran pahala (di dalamnya) juga lebih besar (berbanding bulan-bulan lain).” [Rujuk: Latha’if al-Ma’arif, Ibn Rajab Al-Hanbali (Hlm. 115)]

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa yang lebih tepat adalah pendapat yang menyebutkan bahawa ganjaran pahala serta dosa maksiat yang dilakukan di dalam bulan-bulan haram adalah lebih berat dan besar berbanding bulan-bulan yang lain. Ini bukanlah bermaksud dosa-dosa atau pahala tersebut digandakan seperti yang difahami sebahagian orang, bahkan ia merujuk kepada perkataan أعظم iaitu lebih berat. Wallahua’lam.

Justeru, marilah kita bersama mempertingkatkan amalan soleh selama keberadaan kita di dalam bulan-bulan haram serta meninggalkan maksiat di dalamnya. Mudah-mudahan ia menjadi asbab istiqamahnya kita dalam taqwa kepada Allah SWT dalam bulan-bulan yang lain.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media