SOALAN:
Adakah mereka yang meninggal dunia kerana COVID-19 ini dikira sebagai mati syahid? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.
JAWAPAN:
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَقُولُوا لِمَن يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتٌ ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ
“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu ialah orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.” (Surah al-Baqarah: 154)
Ayat di atas merupakan peringatan kepada orang-orang yang beriman agar jangan mengatakan mereka yang telah terbunuh dalam jalan Allah (membela agama-Nya) ialah orang-orang yang mati (tiada apa-apa nilai). Bahkan mereka itu adalah orang-orang yang hidup dengan keadaan hidup yang istimewa (khusus) di dalam kubur-kubur mereka, yang mana tidak diketahui bagaimana hidupnya itu (kaifiyatnya) melainkan oleh Allah SWT. Akan tetapi kamu juga tidak dapat menyedarinya. Dan ini adalah merupakan dalil yang menunjukan kepada wujudnya nikmat di dalam kubur. (Lihat: al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 24)
Orang Islam yang mati kerana wabak dikira mati syahid
Terdapat banyak riwayat yang menyebutkan akan perkara ini. Antaranya riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الشُّهَداءُ خَمْسَةٌ: المَطْعُونُ، والمَبْطُونُ، والغَرِيقُ، وصاحِبُ الهَدْمِ، والشَّهِيدُ في سَبيلِ اللَّهِ
“Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana Taun (wabak), mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati ditimpa runtuhan dan mati syahid di jalan Allah.” [Riwayat al-Bukhari (2829) dan Muslim (1914)]
Di dalam riwayat yang lain bahawa Baginda SAW bersabda:
مَن قُتِلَ في سَبيلِ اللهِ فَهو شَهِيدٌ، ومَن ماتَ في سَبيلِ اللهِ فَهو شَهِيدٌ، ومَن ماتَ في الطّاعُونِ فَهو شَهِيدٌ، ومَن ماتَ في البَطْنِ فَهو شَهِيدٌ
“Sesiapa yang dibunuh di jalan Allah ialah orang yang syahid, sesiapa yang mati kerana Taun juga ialah orang yang syahid dan sesiapa yang mati kerana penyakit perut juga ialah orang yang syahid.” [Riwayat Muslim (1915)]
Begitu juga, hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الطّاعُونُ شَهادَةٌ لِكُلِّ مُسْلِمٍ
“Wabak Taun itu adalah (penyebab) mati syahid bagi setiap Muslim.” [Riwayat al-Bukhari (2830) dan Muslim (1916)]
Hadith-hadith di atas jelas menunjukkan bahawa orang Islam yang mati kerana wabak (Taun) dianggap sebagai mati syahid. Kurniaan gelaran syahid ini adalah dianugerahkan sendiri oleh Baginda SAW sebagaimana yang dapat kita lihat menerusi hadith-hadith tersebut.
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kesemua jenis kematian itu dianggap sebagai mati syahid disebabkan kelebihan kurniaan Allah SWT (kepada mereka) kerana dahsyatnya kesakitan dan kepedihan kematian tersebut yang ditanggung mereka. (Lihat: al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550)
Pembahagian mati syahid
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan di dalam kitabnya bahawa melalui hadith-hadith ini kita dapat bahagikan mati syahid itu kepada dua kategori iaitu:
- Syahid akhirat dan syahid dunia iaitu sesiapa yang gugur (terbunuh) di jalan Allah melawan orang-orang kafir (menegakkan agama-Nya), ikhlas kerana Allah serta dalam keadaan mara ke hadapan dan bukannya berundur melarikan diri (daripada musuh).
- Syahid akhirat sahaja iaitu mereka yang diberikan pahala mati syahid, namun tidak terpakai ke atas mereka hukum syahid tersebut di dunia (yakni tidak perlu dimandikan, disolatkan dan sebagainya).
(Lihat: Fath al-Bari, Cet. Dar al-Salam, 6/55)
Manakala Imam al-Nawawi menambah kategori yang ketiga iaitu mereka yang mati syahid di dunia tetapi tidak di akhirat. (Lihat: al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550)
Begitu juga, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan kategori ini di dalam kitabnya yang lain dan menyatakan mereka ialah sesiapa yang gugur (terbunuh) di dalam perang melawan orang-orang kafir (yakni bagi menegakkan agama-Nya) tetapi adanya halangan ke atas mereka seperti niat yang rosak dan ketika lari dari medan perang. (Lihat: Bazl Al-Ma’un, hlm. 189)
Oleh itu, kita ketahui bahawa mati kerana wabak Taun adalah termasuk dalam syahid di akhirat tetapi tidak di dunia. Ini bermakna bagi mereka di akhirat pahala mati syahid tetapi di dunia mereka masih perlu dimandikan dan disolatkan. Mengenai ini, Imam al-Nawawi menukilkan bahawa:
المراد بشهادة هؤلاء كلهم غير المقتول فى سبيل الله انهم يكون لهم فى الآخرة ثواب الشهداء وأما فى الدنيا فيغسلون ويصلى عليهم
“Syahid yang dimaksudkan ialah mereka semua kecuali yang gugur di jalan Allah, kelak di akhirat akan mendapat pahala mati syahid. Adapun di dunia mereka masih perlu dimandikan dan disolatkan (tidak seperti yang gugur di jalan Allah).” (Lihat: al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550)
Pahalanya sebagaimana pahala syahid di jalan Allah
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan bahawa pahala syahid yang diperoleh mereka yang mati kerana Taun adalah sepertimana pahala syahid mereka yang gugur di jalan Allah SWT. (Lihat: Bazl Al-Ma’un, hlm. 196)
Mengenai perkara ini, adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
يختصِمُ الشُّهداءُ والمتوفَّونَ على فُرُشِهِم إلى ربِّنا في الَّذينَ يتوفَّونَ منَ الطَّاعونِ ، فيقولُ الشُّهداءُ : إخوانُنا قُتِلوا كما قُتِلنا ، ويقولُ المتوفَّونَ في فرشِهِم : إخوانُنا ماتوا على فرشِهِم كما مُتنا ، فيقولُ ربُّنا : انظُروا إلى جراحِهِم ، فإن أشبَهَ جراحُهُم جراحَ المقتولينَ ، فإنَّهم منهم ومعَهُم ، فإذا جراحُهُم قد أشبَهَت جراحَهُم
“Orang-orang yang syahid dan orang-orang yang meninggal di atas katil mereka saling berselisih kepada Allah SWT mengenai orang-orang yang meninggal dunia kerana wabak Taun. Orang-orang yang syahid berkata: “Mereka adalah saudara-saudara kami, iaitu mereka dibunuh sebagaimana kami dibunuh.” Sedangkan orang-orang yang meninggal di atas katil mereka pula berkata: “Mereka adalah saudara-saudara kami, mereka meninggal di atas katil mereka sebagaimana kami meninggal.” Kemudian Allah SWT berfirman: “Lihatlah kepada luka mereka, sekiranya luka mereka serupa dengan luka orang-orang yang terbunuh, maka mereka termasuk dalam kalangan orang-orang yang terbunuh, dan bersama mereka, dan ternyata luka mereka serupa dengan luka orang-orang yang terbunuh itu.” [Riwayat al-Nasaie (3164) dan Ahmad (17195)]
Bolehkah COVID-19 dikategorikan sebagai Taun?
Dalam menjawab isu ini kami kongsikan beberapa definisi Taun seperti yang disebutkan oleh para ulama' lughah (bahasa). Antaranya ialah:
- Al-Jauhari mengatakan: “Taun merujuk kepada kematian yang meliputi umum sama seperti wabak.”
- Syeikh Ibrahim al-Harbi dalam kitab Gharib al-Hadis pula menyatakan: “Wabak adalah Taun dan juga penyakit yang meliputi umum.”
- Ibn Al-‘Arabi pula menyatakan dalam Syarah al-Tirmidzi: “Dinamakan sebagai Taun kerana musibahnya meliputi umum serta cepat berlaku kematian disebabkannya. Maka penyakit-penyakit yang seumpamanya turut termasuk sebagainya (Taun).”
(Lihat: Bazl Al-Ma’un, hlm. 95)
Maka seperti yang diketahui umum COVID-19 merupakan virus yang merebak serta membawa kepada penyakit-penyakit berjangkit yang boleh membawa kepada kematian dalam skala yang besar. Justeru, berdasarkan ciri-ciri ini maka ia boleh dianggap sebagai Taun seperti yang disebutkan dalam riwayat-riwayat yang sahih.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa sesiapa yang meninggal dunia kerana wabak COVID-19 ini dianggap sebagai mati syahid sebagaimana yang telah difahami daripada hadith-hadith yang sahih. Namun, syahid yang dimaksudkan di sini ialah syahid akhirat iaitu mendapat pahala syahid di hari akhirat kelak. Adapun semasa di dunia, jenazah mereka masih perlu diuruskan seperti biasa iaitu perlu dimandikan dan disolatkan.
Kurniaan gelaran syahid kepada mereka ini sebenarnya dianugerahkan sendiri oleh Rasulullah SAW berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih. Namun, hakikatnya hanya Allah SWT jualah yang Maha Mengetahui hakikat seseorang itu sama ada syahid ataupun sebaliknya. Walau bagaimanapun, kita terus berdoa kepada Allah SWT, agar menerima saudara-saudara seagama kita yang terkorban kerana COVID-19 ini sebagai mati syahid di sisi-Nya.
Kami akhiri dengan sabda Nabi SAW:
مَن سَأَلَ اللَّهَ الشَّهادَةَ بصِدْقٍ، بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنازِلَ الشُّهَداءِ، وإنْ ماتَ على فِراشِهِ
“Sesiapa yang memohon kepada Allah SWT mati syahid dengan sebenar-benar pengharapan, Allah SWT akan mengurniakannya kedudukan para syuhada’ sekalipun dia mati di atas katilnya (tempat tidur).” [Riwayat Muslim (1909)]
Semoga Allah SWT menghilangkan wabak yang sedang melanda negara kita dengan segera serta melindungi kita semua.
Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media