Terengganu FC hilang tiga tonggak akibat kecederaan


Kuala Nerus: Tiga pemain Terengganu FC (TFC) terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam perlawanan pembukaan Liga Super menentang Perak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini.

Antaranya ialah pemain naturalisasi, Stuart Wark, yang akan berehat panjang dan akan diketepikan susulan ditimpa kecederaan lutut dalam sesi latihan.

Bek tengah, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, pula masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan yang menimpanya sejak Julai lalu.

Sedikit melegakan pengendali TFC, Mohd Nafuzi Zain, adalah tonggak tengah, Shahrin Sapien, yang dijangka kembali selepas pertemuan dengan skuad The Bos Gaurus itu.

"Buat masa ini, Nasrullah (Haniff Johan) calon terbaik untuk digandingkan dengan Babacar Diallo di bahagian benteng, selain Muhammad Mohd Fauzi.

"Shahrin juga akan terlepas aksi dengan Perak, namun saya jangka dia akan kembali bersama pasukan, minggu depan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Stadium Sultan Mizan disahkan telah menerima lampu hijau daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menjadi gelanggang rasmi TFC.

Menerusi surat yang dikeluarkan MFL kelmarin, stadium berkenaan melepasi syarat kelayakan minimum serta layak digunakan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sehubungan itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) turut mengumumkan sebanyak 30,000 keping tiket dengan harga RM15 akan dijual pada hari perlawanan.

"Tiket akan dijual di dua lokasi iaitu Stadium Sultan Mizan dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

"Kami harap para penyokong dapat membanjiri stadium dan seterusnya memberikan sokongan padu kepada TFC," kata Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim. - Arena