"Saya akan siasat Terengganu FC."
Itu tegas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung dakwaan pasukan Terengganu kini sedang dibelenggu masalah kewangan.
Masalah kewangan yang dihadapi pasukan Pantai Timur itu dilaporkan sudah mula kedengaran sejak beberapa bulan lalu.
Namun, hingga ke saat ini tiada tindakan diambil ke atas Terengganu ekoran tiada laporan rasmi dibuat oleh pemain dan jurulatih.
"Apabila ada pemain yang tidak melaporkannya, ia memberi kesukaran kepada kami. Kami tidak akan tahu. Saya ada terbaca tentangnya menerusi akhbar dan telah meminta Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, untuk menyemak. Namun, masih belum ada maklum balas," kata Hamidin.
Isu itu tampak semakin parah apabila difahamkan bekas pemain import terengganu, Kipre Tchetche, dihalang untuk memperbaharui visa ke luar negara ekoran kegagalan pembayaran cukai daripada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).
"Saya janji akan semak. Pemain tidak berikan laporan tetapi saya akan dapatkan fakta tentang isu itu." - Astro Arena