Mengangkat Takbir Ketika Rukuk Dan I’tidal, Adakah Diwajibkan?


SOALAN:
Saya melihat pelbagai cara masyarakat kita mendirikan solat. Contohnya, ketika hendak rukuk, ada yang mengangkat untuk takbir dan ada yang tidak melakukannya. Begitu juga ketika i’tidal. Kadang-kadang, ada yang mengangkat tangan pada satu tempat dan tidak pada tempat yang lain. Bahkan, lebih dari itu, ada yang menegur orang lain supaya mengikut seperti yang dia lakukan. Soalan saya, adakah kita perlu mengangkat takbir ketika kita dalam keadaan tersebut? Bagaimanakah yang sepatutnya dan apa hukumnya?

JAWAPAN:
Kita dperintahkan supaya mendirikan solat sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Sabda Baginda SAW:

صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
“Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.” [Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)]

Para ulama’ telah menerangkan tentang rukun-rukun solat yang wajib dipenuhi oleh seseorang yang mendirikan solat untuk menjadikan solatnya tersebut sah. Terdapat 13 rukun solat yang terbahagi kepada 4 bahagian iaitu; fi’li, qauli, qalbi dan maknawi.

Perbuatan mengangkat tangan untuk bertakbir sebelum rukuk dan ketika dalam keadaan i’tidal tidak termasuk dalam 13 rukun solat di atas. Oleh itu, terlebih dahulu hendaklah difahami bahawa perbezaan sama ada melakukannya ataupun meninggalkannya tidak menjejaskan sahnya solat tersebut.

Justeru, ia perkara yang tidak perlu ditegur atau diperbetulkan kerana ia bukan sesuatu yang disepakati. Jika sekiranya seseorang melanggar sesuatu yang sudah disepakati keharamannya atau untuk mencegah seseorang itu daripada terjatuh dalam perkara yang haram, maka dalam keadaan tersebut digalakkan, ini berdasarkan kaedah:

لا يُنكَرُ المختَلَفُ فيه، وإنما يُنكَر المُجْمَعُ عليه
“Tidak ditegah pada perkara yang berlaku khilaf padanya, adapun ditegah pada perkara yang disepakati atasnya (ijma’).”

Ibn Taimiyyah dalam menghuraikan kaedah di atas menyebutkan bahawa:

إنَّ مِثل هذه المسائل الاجتهادية لا تُنكَر باليد، وليس لأحدٍ أن يُلزِم الناسَ باتِّباعه فيها، ولكن يُتكلَّمُ فيها بالحُجج العلميَّة؛ فمَن تبيَّن له صحَّةُ أحد القولين تبعه، ومن قلَّد أهلَ القول الآخر فلا إنكار عليه
“Sesungguhnya perkara masalah khilafiah seperti ini tidak patut ditegah dengan tangan (kuasa). Sesiapapun tidak patut untuk memaksa orang lain untuk mengikutnya pada perkara seperti itu. Namun begitu, boleh untuk dibahaskan dengan hujahan ilmiah. Barangsiapa yang jelas baginya kesahihan sesuatu pendapat, maka hendaklah dia mengikutinya. Dan barangsiapa yang bertaqlid kepada pendapat yang lain, maka tidak boleh ditegah terhadapnya.” (Rujuk: Majmu’ al-Fatawi, 30:80)

Adapun hukum mengangkat tangan untuk takbir ketika hendak rukuk dan i’tidal di sisi mazhab al-Syafie adalah sunat. Hal ini seperti yang dinyatakan di dalam banyak kitab fiqh, antaranya Safinah al-Naja dengan menyebutkannya dalam satu fasal:

فَصْلٌ: يُسَنُّ رفع اليدين في أربعة مواضع عند تكبيرة الإحرام و عند الركوع و عند الإعتدال و عند القيام من التشهّد الأوّل
“Fasal (pada menyatakan) disunatkan mengangkat tangan pada empat tempat iaitu takbiratul ihram, ketika hendak rukuk, ketika i’tidal dan ketika bangun daripada tasyahhud awal.” (Rujuk: Safinah al-Naja’: 63)

Syeikh Nawawi al-Bantani dalam syarahnya ke atas matan ini menerangkan tentang cara mengangkat takbir ketika hendak rukuk ialah dengan mengangkat tangan ketika mengucapkan lafaz takbir sebelum membongkokkan badan untuk rukuk, dengan tidak berterusan mengangkat tangan sehingga rukuk. Adapun sebutan lafaz takbir hendaklah diucapkan sehingga sempurna rukuk supaya tidak senggang waktu yang kosong daripada zikir dan doa. Manakala i’tidal pula, diangkat tangan ketika mula mengangkat kepala dan apabila sudah tegak berdiri (i’tidal), maka hendaklah melepaskan tangan sedikit ke di bawah dadanya. (Rujuk: Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja: 63)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum mengangkat tangan untuk bertakbir ketika ingin rukuk dan i’tidal itu adalah sunat sahaja. Oleh itu, seelok-eloknya kita memperbanyakkan perbuatan yang sunat di dalam solat, apatah lagi perbuatan yang sangat mudah untuk dilakukan seperti mengangkat takbir.

Namun begitu, ia tidak menjejaskan sahnya solat seseorang jika dia tidak melakukannya kerana tidak termasuk dalam rukun solat. Bahkan, seseorang yang melakukannya tidak berhak untuk menegah atau menyuruh orang yang meninggalkannya untuk mengikut seperti apa yang dia lakukan kerana ia bukan perkara yang disepakati. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media