SOALAN:
Apakah status hadith ini? Daripada Abu Hurairah R.A berkata, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
لَوْ كَانَ الْعِلْمُ بِالثُّرَيَّا، لَتَنَاوَلَهُ نَاسٌ مِنْ أَبْنَاءِ فَارِسَ
“Sekiranya ilmu (agama) berada di bintang al-Thurayya, maka akan dicapai oleh manusia daripada anak-anak orang Parsi.”
JAWAPAN:
Berdasarkan soalan di atas, hadith di atas diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam musnadnya [Lihat: Musnad Ahmad (10057) (9440)] dan juga Imam Ibn Hibban di dalam sahihnya. [Lihat: Sahih Ibn Hibban (7309)]
Selain itu, hadith ini juga diriwayatkan dengan matan yang sedikit berbeza di antara satu sama lain tetapi membawa makna yang sama. Antaranya:
1. Daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَوْ كَانَ الإِيمَانُ عِنْدَ الثُّرَيَّا، لَنَالَهُ رِجَالٌ - أَوْ رَجُلٌ - مِنْ هَؤُلاَءِ
“Sekiranya iman itu berada di bintang al-Thurayya, maka akan dicapai oleh lelaki-lelaki atau lelaki daripada golongan mereka (orang Parsi).” [Riwayat al-Bukhari (4897)]
2. Daripada Abu Hurairah R.A berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَوْ كَانَ الْإِيمَانُ عِنْدَ الثُّرَيَّا، لَنَالَهُ رِجَالٌ مِنْ هَؤُلَاءِ
“Sekiranya iman itu berada di bintang al-Thurayya, maka akan dicapai oleh manusia daripada golongan mereka (orang Parsi).” [Riwayat Muslim (2546)]
3. Daripada Abu Hurairah R.A berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَوْ كَانَ الإِيمَانُ مَنُوطًا بِالثُّرَيَّا لَتَنَاوَلَهُ رِجَالٌ مِنْ فَارِسَ
“Sekiranya iman itu tergantung di bintang al-Thurayya, maka akan dicapai oleh manusia daripada anak-anak orang Parsi.” [Riwayat al-Tirmidzi (3261)]
4. Daripada Abu Hurairah R.A berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَوْ كَانَ الْإِيمَانُ مُعَلَّقًا بِالثُّرَيَّا لَتَنَاوَلَهُ رِجَالٌ مِنْ قَوْمِ هَذَا
“Sekiranya iman itu tergantung di bintang al-Thurayya, maka akan dicapai oleh manusia daripada kaum ini (kaum Parsi).” [Riwayat Ibn Hibban (7308)]
Adapun, berkaitan hukum hadith ini, di sini kami nukilkan beberapa pandangan para ulama' dalam menilai riwayat atau hadith ini:
- Imam Ibn Hibban (354H) menilai hadith ini sebagai sahih dengan sanad yang berbeza. [Lihat: Sahih Ibn Hibban (7309), 16/299]
- Imam al-Suyuthi (911H) menghukum hadith ini sebagai dhaif di dalam kitabnya. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 2/239]
- Syeikh Syu’aib al-Arna’outh (1438H) menghukum hadith ini sanad hadith ini dhaif disebabkan oleh Syahr bin Haushab. [Lihat: Musnad Ahmad, 16/90]
Melihat kepada beberapa pandangan di atas, hadith di atas adalah sahih mengikut jalur atau sanad daripada Imam al-Bukhari dan Imam Muslim tanpa melalui perawi bernama Syahr bin Haushab. Tambahan pula, hadith ini secara umumnya membicarakan berkaitan kelebihan bangsa Parsi berbanding bangsa-bangsa yang lain. Akan tetapi, terdapat sebab mengapa hadith ini diucapkan oleh Nabi SAW sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadith:
Daripada Abu Hurairah RA berkata:
كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأُنْزِلَتْ عَلَيْهِ سُورَةُ الجُمُعَةِ: (وَآخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا بِهِمْ) [الجمعة: 3] قَالَ: قُلْتُ: مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَلَمْ يُرَاجِعْهُ حَتَّى سَأَلَ ثَلاَثًا، وَفِينَا سَلْمَانُ الفَارِسِيُّ، وَضَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَهُ عَلَى سَلْمَانَ، ثُمَّ قَالَ: لَوْ كَانَ الْإِيمَانُ عِنْدَ الثُّرَيَّا، لَنَالَهُ رِجَالٌ مِنْ هَؤُلَاءِ
Sedang kami duduk bersama Nabi SAW, lalu turun kepada Baginda SAW surah al-Jumu’ah: “Dan juga (telah mengutuskan Nabi Muhammad kepada) orang-orang yang lain daripada mereka, yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi mereka” [al-Jumu’ah: 3]. Aku berkata: “Siapakah mereka wahai Rasulullah SAW?” Nabi SAW tidak menjawab sehingga ditanya sebanyak tiga kali. Di sisi kami adanya Salman al-Farisi dan Nabi SAW meletakkan tangan Baginda SAW di atas badan Salman sambil berkata: “Sekiranya iman itu berada di bintang al-Thurayya, maka akan dicapai oleh lelaki-lelaki daripada golongan mereka (orang Parsi).” [Riwayat Muslim (2546)]
Untuk itu, hadith ini diucapkan oleh Nabi SAW ketika Baginda SAW memuji salah seorang sahabat Baginda SAW iaitu Salman al-Farisi yang mana beliau merupakan salah seorang berbangsa Parsi. Di samping itu juga, Syeikh Mulla Ali al-Qari (1014H) ketika mensyarahkan hadith ini mengatakan ia berkemungkinan kesungguhan Salman al-Farisi di dalam mencari kebenaran atau cahaya hidayah. Hadith ini juga boleh membawa maksud orang atau bangsa ‘ajam (asing) keseluruhannya (bukannya hanya Parsi sahaja) kerana kesemua itu tergolong dalam orang-orang yang buta huruf (belum mendapat hidayah seperti orang Arab di zaman Jahiliyyah) ataupun ia hanya khusus kepada orang (bangsa) Parsi sahaja (dan bukannya bangsa selain Parsi). [Lihat: Mirqah al-Mafatih, 9/4005]
Selain itu. makna bintang al-Thurayya adalah (dalam ilmu astronomi) Pleiades iaitu sebuah kelompok bintang terbuka di buruj Taurus. Ia merupakan kelompok bintang paling jelas dilihat dengan mata kasar dan ia merupakan salah satu buruj yang terdekat dengan Bumi. [Lihat: https://ms.wikipedia.org/wiki/Pleiades]
Bertitik tolak daripada penjelasan di atas, ramai juga para ulama' yang bukan berbangsa Arab seperti Abu Hanifah iaitu pengasas kepada mazhab Hanafi di dalam bidang Fiqh dan sebahagian besar ulama' hadith adalah bukan berbangsa Arab seperti:
- Imam al-Bukhari
- Imam Muslim
- Imam al-Tirmidzi
- Imam al-Nasa’ie
- Imam Ibn Majah
- Imam al-Hakim al-Naysaburi
Walau bagaimanapun, kemuliaan seseorang individu itu bukan terletak pada bangsanya semata-mata. Ini kerana, bangsa Arab merupakan bangsa yang paling mulia kerana Nabi Muhammad SAW dipilih oleh Allah SWT daripada bangsa tersebut tetapi apabila seseorang itu berpegang pada kebenaran dan ketaqwaan maka dia akan menjadi mulia walau apa jua bangsanya. Iman dan taqwalah yang menjadi kayu ukur yang sebenar dalam menilai kehebatan, kemuliaan dan ketokohan seseorang itu.
Penutup
Kesimpulannya, hadith di atas adalah sahih mengikut jalur mengikut jalur seperti mana yang dinilai oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim dengan sanad yang dibawa oleh mereka. Selain itu juga, hadith ini menunjukkan kelebihan salah seorang daripada sahabat Nabi SAW yang mulia bernama Salman al-Farisi sehinggakan Nabi SAW menggolongkannya daripada ahli keluarga Baginda SAW. Di samping itu, hadith di atas juga menunjukkan agama ini juga akan dipelihara atau dijaga oleh bangsa-bangsa lain selain daripada bangsa Arab dan hal ini telah dibuktikan dengan ramainya tokoh-tokoh terkenal di dalam Islam yang bukan berbangsa Arab.
Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang bertaqwa dan sentiasa memberi sumbangan terhadap agama ini. Amin. Wallahua’lam
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media