SOALAN:
Apakah hukum seseorang yang solat lebih awal daripada waktunya secara tidak sengaja, selama tempoh yang panjang? Contohnya, dia solat subuh sepuluh minit lebih awal kerana tersilap tengok jam di tangannya yang cepat 10 minit, selama sebulan atas alasan hendak segera pergi kerja?
JAWAPAN:
Firman Allah SWT:
ۚ إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah al-Nisa': 103)
Daripada ayat ini Imam Abu Jaafar al-Tahawi berkata terdapat tiga tafsiran ulama' tentang ayat ini; bahawa solat itu ialah kefarduan yang difardukan, bahawa solat itu fardu yang diwajibkan dan bahawa solat itu ditentukan masa perlaksanaannya. Beliau berkata tafsiran-tafsiran itu dekat antara satu sama lain. Ini kerana suatu yang fardu itu adalah kewajiban, dan kewajiban itu ditunaikan pada selepas masuk waktu yang telah ditentukan. [Rujuk: Jami` al-Bayan (9/170)]
Para ulama' seumpama Imam Ibn Hajar al-Haitami menyimpulkan bahawa antara dosa-dosa ialah sengaja mengawalkan solat daripada waktunya. Menurut beliau, seseorang yang sengaja mengawalkannya adalah berdosa besar, sekalipun jika selepas itu dia mengqadhakan, kerana itu adalah perbuatan mempermainkan agama. [Rujuk: Al-Zawajir `An Iqtiraf al-Kabair (1/228)]
Oleh itu, menjadi kewajiban orang beriman untuk benar-benar memahami syarat sah solat iaitu mengetahui masuknya waktu solat dengan alamat-alamatnya agar tidak terjebak dengan dosa ini.
Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/276) menyebut: “Apabila ternyata solat seseorang berlaku sebelum masuk waktu, solatnya dianggap batal dan wajib mengulanginya sama ada dia berpegang kepada keyakinannya, ijtihadnya atau taqlid.”
Disebut di dalam kitab Kifayah al-Akhyar: “Jika ada yang memberitahu pada seseorang, bahawa solatnya dilakukan sebelum waktu masuk, maka harus dilihat terlebih dahulu. Jika yang memberitahu hal tersebut adalah orang yang mempunyai pengertian atau memang menyaksikan sendiri, maka dia wajib mengulangi solatnya, dan jika pemberitahuan itu berdasarkan ijtihad, maka tidak wajib mengulangi solatnya.” [Lihat: Kifayah al-Akhyar (1/183)]
Walau bagaimanapun, sekiranya perkara itu berlaku kerana tidak disengajakan seperti tersilap selepas ijtihad dan berulang kali dalam suatu tempoh masa pada waktu yang sama, maka solat itu dianggap rosak pada kali pertama dan dianggap qadha pada kali kedua dan selepasnya.
Syeikh Muhammad al-Zuhaili pula menyatakan: “Sesiapa yang meyakini perlaksanaan sembahyang terjadi sebelum waktunya, atau terjadi sebahagiannya walaupun takbiratul ihram, atau diberitahu orang yang dipercayai, dan diketahui yang demikian dalam waktu atau sebelumnya, maka wajib mengulanginya, dan jika diketahui setelah berakhir waktu, maka wajib diqadha, walaupun hilang syaratnya iaitu waktu, dan tidak ada dosa baginya kerana keuzuran.” [Lihat: al-Mu’tamad (1/164)]
Syeikh Syahuddin al-Ramli menakalkan fatwa Imam al-Barizi seperti berikut: “Al-Barizi ditanya tentang seorang lelaki yang berada dalam situasi selama 20 tahun tersilap dalam penentuan fajar kemudian solat (Subuh ketika fajar kazib), kemudian ternyata kepadanya akan kesilapan itu; maka apakah dia wajib menggantikan (solat-solat Subuhnya yang lalu)? Maka al-Barizi menjawab tidak wajib ke atasnya melainkan sekali sahaja solat gantinya, kerana solatnya setiap hari adalah ganti pada solat bagi hari-hari sebelum.” [Lihat: Nihayah al-Muhtaj (1/454), Hasyiah Jamal (1/334), Hasyiah al-Bujairimi (1/454), dan Nihayah al-Zain (ms. 56)]
Syaikhul Islam Zakariyya al-Ansari dalam Asna al-Matalib (1/142) menyebut: “(Sekiranya seseorang itu menyangka bahawa dia berada di luar waktu satu-satu solat kemudian dia solat dengan niat qadha) kemudian ternyata bahawa waktu solat itu masih berbaki (atau sebaliknya) yakni dia sangka waktu solat masih berbaki lalu dia solat dengan niat tunai, kemudian ternyata dia solat di luar waktu, maka memadailah solatnya kerana telah dibicarakan sebelum ini, melainkan jika dilakukan untuk bermain-main dalam keadaan dia mengetahuinya, dan tidak wajib ta`arudh untuk niat menghadap kiblat, seperti yang diterangkan pada asal, tidak pula wajib ta`arrudh pada waktu seperti “hari ini” kerana tidak wajib ta`arrudh bagi syarat-syarat, sekalipun jika dia tentukan berdasarkan hari kemudian tersilap.”
Penutup
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami menyatakan bahawa sekiranya telah dipastikan bahawa seseorang itu telah tersilap dan menunaikan solat Subuh lebih awal daripada waktunya selama beberapa hari, kerana tersalah tengok jam, maka kami mengatakan wajib ke atasnya untuk menggantikan solat itu sekali sahaja untuk waktu solat Subuh yang terakhir kerana dia telah melakukan qadha bagi hari pertama pada hari kedua dan seterusnya.
Semoga penjelasan ini memberikan manfaat untuk kita semua.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media