SOALAN:
Saya mempunyai hobi membela burung, adakah dibenarkan? Boleh tak kalau saya nak menyertai pertandingan lawan bunyi burung? Adakah dibolehkan menyertainya?
JAWAPAN:
Dalam perbahasan memelihara burung di dalam sangkar, para fuqaha' berbeza pendapat berkenaan dengannya, maka kami lebih cenderung dengan pendapat yang mengharuskannya untuk pemeliharaan serta hendaklah bersikap ehsan dan memberi kebajikan terhadap haiwan yang dipeliharanya.
Syarak juga membenarkan memelihara haiwan hanya sekadar suka melihat kecantikannya dan bermain dengannya. Ini berdasarkan Firman Allah SWT:
وَلَكُمْ فِيهَا جَمَالٌ حِينَ تُرِيحُونَ وَحِينَ تَسْرَحُونَ
“Dan bagi kamu pada binatang-binatang ternak itu, keindahan (yang menarik hati) ketika kamu membawanya balik untuk berehat (pada waktu petang), dan ketika kamu membawanya keluar (pada waktu pagi).” (Surah al-Nahl: 6)
Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan, kecantikan pada binatang yang diternak apabila melihatnya akan melahirkan rasa gembira dan senang hati. (Lihat: Tafsir al-Maraghi, 14/57)
Begitu juga, sahabat Nabi SAW yang memelihara seekor burung dan bermain dengannya. Ini seperti mana hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ - قَالَ: أَحْسِبُهُ - فَطِيمًا، وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْر؟ نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ
“Bahawa Nabi SAW ialah manusia yang paling baik akhlaknya. Aku (yakni Anas) memiliki seorang adik lelaki, yang Nabi memanggilnya “Abu `Umair”. Umurnya kira-kira baru tamat menyusu. Jika Rasulullah datang, maka Baginda akan bertanya kepadanya: “Wahai Abu `Umair, apa yang Si Nughair buat?” (al-Nughair itu adalah) sejenis burung nughar (yang sedap dan bagus suaranya) yang Abu Umair biasa bermain dengannya.” [Riwayat al-Bukhari (6203)]
Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam syarahnya menyatakan, harus memelihara burung dengan meletakkannya di dalam sangkar atau seumpama dengannya. (Lihat: Fathu al-Bari, 10/584)
Imam Nawawi menyatakan, sekiranya seseorang itu membuka pintu sangkar kepunyaan orang lain yang terdapat burung di dalamnya, lalu burung itu terbang melarikan diri, maka ganti rugi disebabkan kehilangan burung itu menjadi tanggungjawab orang yang membukanya. (Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 14/289)
Imam Syarwani di dalam hasyiahnya menyatakan, al-Qaffal telah ditanya berkenaan dengan hukum memelihara burung di dalam sangkar untuk mendengar suaranya dan selainnya. Maka beliau menjawab, diharuskan untuk memeliharanya sekiranya ia memenuhi kebajikan dan keperluan burung itu, ini seperti haiwan ternakan yang diikat. (Lihat: Hasyiah al-Syarwani ala Tuhfah al-Muhtaj, 9/210)
Ini menggambarkan bahawa pandangan fuqaha' mengharuskan pemeliharaan burung di dalam sangkar, akan tetapi hendaklah penjagaannya mengikut keperluan dan memberi kebajikan terhadap haiwan tersebut.
Tanggungjawab Terhadap Haiwan
Di dalam hal memelihara haiwan, mereka yang memeliharanya tidak terlepas di dalam memberi kebajikan atau keperluan kepada haiwan yang dipelihara. Di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan haiwan dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu haiwan ternakan yang halal dimakan, haiwan peliharaan yang tidak halal dimakan dan haiwan bukan peliharaan.
Di dalam hal memelihara haiwan yang tidak halal dimakan, antara haiwan peliharaan yang tidak halal dimakan ialah anjing perburuan yang tidak ganas, kucing, helang, lebah, ulat sutera dan sebagainya. Pemiliknya mesti menjaga dan memberikan keperluan hidup seperti makanan dan minuman kepada haiwan tersebut.
Jika dia enggan menjualnya atau tidak ada pembelinya, dia mestilah menyerahkan haiwan tersebut kepada sesiapa yang boleh memanfaatkannya supaya ia boleh terus hidup. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/187; al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/298)
Tuntutan bersikap ehsan dan larangan melakukan kezaliman terhadap haiwan peliharaan merupakan kewajipan menunaikannya, ini kerana berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A:
دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خِشَاشِ الأَرْضِ
“Seorang perempuan masuk neraka disebabkan seekor kucing, kerana dia mengikatnya, tidak memberinya makan dan tidak melepaskannya makan binatang yang melata di muka bumi sehinggalah kucing itu mati dalam keadaan kurus kering.” [Riwayat al-Bukhari (3318)]
Pertandingan
Musabaqah (Pertandingan) mengikut jumhur fuqaha’ adalah diharuskan sekiranya tidak dikenakan bayaran. Ini berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW pernah menganjurkan pertandingan bersama sahabat-sahabatnya. Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar R.A:
سَابَقَ اَلنَّبِيَّ - صلى الله عليه وسلم -بِالْخَيْلِ اَلَّتِي قَدْ أُضْمِرَتْ, مِنْ الْحَفْيَاءِ, وَكَانَ أَمَدُهَا ثَنِيَّةِ اَلْوَدَاعِ.وَسَابَقَ بَيْنَ اَلْخَيْلِ اَلَّتِي لَمْ تُضَمَّرْ مِنْ اَلثَّنِيَّةِ إِلَى مَسْجِد بَنِي زُرَيْقٍ, وَكَانَ اِبْنُ عُمَرَ فِيمَنْ سَابَقَ
“Nabi SAW berlumba dengan kuda yang telah dilatih dari al-Hafya’ sehingga Saniyyatil Wada’ (nama tempat yang terletak di Madinah) dan baginda berlumba dengan kuda yang belum dilatih dari Saniyyatil Wada’ ke Masjid Bani Zuraiq dan Ibn Umar antara salah seorang yang turut berlumba.” [Riwayat al-Bukhari (420) dan Muslim (1870)]
Garis panduan al-Musabaqah (pertandingan) sekiranya berasaskan bayaran atau hadiah, fuqaha’ berbeza pendapat mengenainya. Terdapat al-Musabaqah yang mematuhi syariah dan tidak mematuhi syariah. Di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan kategori al-Musabaqah di antaranya ialah:
- Hadiah pertandingan ditaja oleh kerajaan atau orang lain. Ia tidak mengambil dari wang atau yuran peserta. Contohnya: “Sekiranya kamu berdua bertanding, aku akan memberi hadiah.”
- Hadiah ditaja oleh salah seorang peserta yang bertanding. Contohnya: “Marilah bertanding denganku sekiranya kamu menang aku akan memberikan kamu hadiah dan sekira kamu kalah, kamu tidak perlu memberikanku hadiah.”
- Kesemua peserta membayar penyertaan dan bayaran itu akan dijadikan hadiah kepada pemenang.
- Ciri ini sama seperti ciri yang ketiga, iaitu kesemua peserta membayar penyertaan namun terdapat muhallil (orang yang tidak dikenakan bayaran) dan muhallil itu diberikan hadiah yang serupa dengan peserta lain sekiranya dia menang.
Gambaran di atas menunjukkan situasi yang berbeza dan ciri yang ketiga terkandung di dalamnya unsur-unsur yang diharamkan iaitu perjudian (Al-Maisir) dan selebihnya diharuskan syarak. (Lihat: al-Fiqh Al-Manhaji: 8/158)
Kesimpulan
Berbalik kepada persoalan dan dalil-dalil yang diberikan, dapat kami simpulkan diharuskan memelihara burung kerana kelunakan suaranya dan kecantikannya. Namun kewajipan menunaikan tanggungjawab terhadap burung itu hendaklah ditunaikan mengikut keperluannya, seperti sangkar yang tidak sempit dan makan yang mencukupi.
Berbalik kepada persoalan menyertai pertandingan lawan bunyi burung, kami berpendapat dibolehkan untuk menyertainya. Namun, hendaklah memastikan hadiah pertandingan tidak diambil daripada yuran penyertaan serta tidak berlakunya eksplotasi, kesamaran, pertaruhan, nasib dan pembaziran. Begitu juga, pertandingan itu hendaklah mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh JAKIM, boleh lihat Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah Bil.5 Tahun 2013.
Oleh itu penganjur seharusnya berhati-hati dalam menganjurkan sesuatu pertandingan dalam menggunakan wang penyertaan serta mendapat khidmat nasihat daripada pihak yang berautoriti.
Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam melaksanakan setiap amalan agar setiap amalan yang kita lakukan bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media