Hukum Memakai Pakaian Ketat Dalam Solat Kerana Aktiviti Larian


SOALAN:
Saya berimpian untuk menyertai acara larian yang kebanyakkannya bermula awal pagi sebelum masuk waktu Subuh. Soalan saya, adakah sah solat kami jika seorang perempuan berpakaian sukan seperti berseluar tight dan berskirt paras peha serta bertshirt lengan pendek dan berinner. Adakah situasi kami ini boleh dikira sebagai darurat untuk etika berpakaian?

JAWAPAN:
Menutup aurat ialah salah satu syarat sah solat. Firman Allah SWT:

يَا بَنِي ءَادَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ
“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat).” (Surah al-A’raaf: 31)

Maksud aurat dari segi syarak adalah anggota badan yang wajib ditutup atau yang diharamkan untuk melihatnya.

Secara ringkasnya, aurat seorang wanita berbeza mengikut keadaan seperti berikut:

  • Aurat wanita ketika di dalam solat atau ketika terdapat di sekelilingya lelaki yang bukan mahram atau wanita kafir ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.
  • Aurat wanita antara sesama wanita Muslimah atau lelaki mahrammya (seperti ayah atau abang kandung) ialah antara pusat hingga ke lutut.
[Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji 1/124]

Menutup Aurat di dalam Solat

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyatakan bahawa wajib menutup aurat dengan sebarang pakaian yang tidak menampakkan warna kulit, dan ia tidak mampu ditutup dengan baju yang jarang. Menutup aurat mencukupi dengan apa jenis pakaian, kulit, kertas atau dedaun yang dikait selagi mana ia tidak menampakkan warna kulit. [Rujuk: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 3/171]

Al-Khatib al-Syarbini telah menjelaskan dalam kitabnya bahawa tidak batal solat sekiranya berpakaian yang menampakkan tubuh badan tetapi makruh bagi seorang wanita berpakaian ketat manakala bagi lelaki tidak diutamakan (khilaf al-Aula). [Rujuk: Mughni al-Muhtaj 1/398]

Maka, berbalik kepada soalan di atas, sah solat seseorang itu selagi mana pakaian yang dipakai tidak menampakkan warna kulit. Namun begitu, perkara ini bukan bermaksud untuk menggalakkan berpakaian ketat ketika solat. Sebaiknya pakailah pakaian yang mematuhi syariah serta mampu menghindarkan diri dari fitnah.

Di sini ingin kami nyatakan bahawa aktiviti larian bukanlah satu keadaan darurat untuk membenarkan pemakaian yang ketat dan nipis. Ini kerana, darurat bermaksud suatu keadaan yang mendesak seseorang itu melakukan perkara yang diharamkan untuk menyelamatkan diri dari kebinasaan. [Rujuk: al-Asybah wa al-Nazo’ir li al-Suyuthi halaman 85]

Justeru itu seorang Muslim hendaklah berusaha semampunya untuk berpakaian yang mematuhi syariah Islam. Perkara ini bukan sahaja dituntut ketika melaksanakan solat malah ketika berada di luar solat.

Penutup

Tuntasnya, berdasarkan soalan yang diajukan, sah solat seseorang yang memakai pakaian yang ketat ketika solat selagi mana pakaian tersebut tidak menampakkan warna kulit. Namun begitu, makruh bagi seorang wanita berpakaian ketat sama ada di dalam solat atau di luar solat kerana ia menampakkan bentuk badan. Oleh itu, kami menasihatkan kepada peserta aktiviti larian agar memakai atau menyediakan pakaian yang longgar dan tidak jarang untuk solat semasa menyertai aktiviti larian tersebut.

Rasulullah SAW telah bersabda dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

صِنفانِ مِن أهلِ النَّارِ لم أرَهما: قَومٌ معهم سِياطٌ كأذنابِ البَقَرِ يَضرِبونَ بها النَّاسَ، ونِساءٌ كاسِياتٌ عارياتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ ، رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ ، لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيحَهَا ، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
“Dua kategori penghuni neraka yang aku belum pernah melihatnya lagi iaitu satu kaum yang memegang cemeti (pemukul) seperti ekor lembu –sebagai simbolik pemerintah yang zalim – dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, berjalan secara berlenggang lenggok mempunyai sanggul seperti bonggol unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu sejauh perjalanan tertentu.” [Riwayat Muslim (2128)]

Maka dengan itu, seorang wanita Muslimah perlu menjaga batas auratnya terutama ketika berhadapan dengan ajnabi yang mana sekiranya tidak dijaga boleh membawa kepada fitnah.

Akhir kalam, semoga kita dipelihara oleh Allah SWT dan ditetapkan iman dengan taufiq dan hidayah-Nya. Wallahua’lam

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media