SOALAN:
Bagaimana membentuk saf-saf dalam solat jenazah jika jumlah jemaah sedikit?
JAWAPAN:
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah R.A, beliau berkata:
صلَّى رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ علَى جنازَةٍ ومعَهُ سبعَةُ نَفَرٍ فجَعَلَ ثَلَاثَةً صفًّا واثنينِ صفًّا واثنينِ صَفًّا
“Rasulullah SAW mensolatkan satu jenazah bersama tujuh orang. Lalu Baginda menyusun tiga orang di saf (pertama), dua orang di satu saf (kedua) dan dua orang di satu saf (ketiga).” [Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (7785)]
Manakala dalam hadith yang diriwayatkan daripada Malik bin Hubairah, Nabi SAW bersabda:
ما مِن مسلمٍ يموتُ فَيُصَلِّي عليه ثلاثةُ صفوفٍ من المسلمينَ إلا أَوْجَبَ
“Tidak ada seorang Muslim yang meninggal dunia, kemudian disolatkan ke atasnya tiga saf dari orang-orang Islam, kecuali pasti akan dikabulkan (doanya).” [Riwayat Abu Daud (3166), al-Tirmidzi (1028), Ibn Majah (1490) dan Ahmad (16724)]
Imam Nawawi berkata: “Dan disunatkan untuk menyusun saf sekurang-kurangnya tiga baris dan lebih berdasarkan hadith Malik bin Hubairah. Dan lebihan daripada tiga saf, maka ia lebih afdhal.” (Lihat al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, 5/215)
Ibn Qudamah menyebut: “Digalakkan menyamakan saf ketika mengerjakan solat jenazah. Hal ini dinaskan oleh Imam Ahmad, dan katanya: Samakan saf-saf kamu, sesungguhnya ia adalah solat. Dan kerana Nabi SAW tatkala dikhabarkan pada hari kematian Najasyi, Baginda keluar ke tempat solat. Lalu Baginda membentuk saf dan bertakbir sebanyak empat kali.” (Lihat al-Mughni, 2/185)
Kesimpulan
Hendaklah membentuk saf dalam keadaan sama dan untuk solat jenazah sekurang-kurangnya tiga saf atau lebih berdasarkan nas hadith dan istinbat ulama’. Adapun kedudukan antara saf pertama dan kedua boleh dirapatkan dan tidak perlu dijarakkan untuk rukuk dan sujud kerana pada solat jenazah tiada rukuk dan sujud.
Semoga pencerahan ini memberi kefahaman kepada kita. Marilah kita berdoa untuk mereka yang sudah meninggal dunia sebelum kita.
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
“Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan RahmatMu.” (Surah al-Hasyr: 10)
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media