Benarkah Ahli Ma’rifat Boleh Tinggalkan Syariat?


SOALAN:
Jika seorang ahli Sufi itu sudah mencapai ma’rifatullah, benarkah dia boleh meninggalkan syariat seperti solat lima waktu dan lain-lain?

JAWAPAN:
Banyak orang yang mengambil kesempatan mengaku sebagai ahli Sufi padahal mereka tersasar daripada jalan tasawwuf yang sebenar. Sebahagian mereka pula berkata: “Kami adalah ahli batin. Mereka adalah ahli zahir.” Inilah tipu daya dan belitan Iblis yang amat berbahaya kepada salik yang sedang menuju Allah SWT.

Kedudukan Syariat dan Ma’rifat di sisi Allah SWT

Kekeliruan timbul apabila ramai tidak memahami hakikat sebenar seseorang yang berada pada peringkat syariat dan ma’rifat. Walaupun ada perbezaannya, tetapi kedua-dua kelompok ini tetap sama di sisi Allah SWT.

Menurut Syeikh ‘Abdullah al-Syarqawi: “(Sekelompok orang) dipilih (Allah untuk berkhidmat kepada-Nya) melalui ibadah zahir hingga mereka layak menerima syurga-Nya. Mereka adalah ahli zuhud dan ahli ibadah. (Sekelompok lainnya ditempatkan untuk mencintai-Nya) sehingga mereka layak dekat dengan-Nya dan masuk ke hadrat-Nya. Mereka adalah pencinta (muhibbin) dan ahli ma’rifat (arifin). Tetapi dua kelompok yang berbeza ini tetap dinisbahkan dan berkhidmat kepada Allah. Apa yang berbeza adalah kelompok pertama lebih banyak berkhidmat dengan anggota tubuh. Kelompok kedua lebih banyak berkhidmat dengan hati.

Firman Allah SWT: “Tiap-tiap golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun)” atau dihalang. Ketika menyaksikan keesaan Allah pada penempatan secara khusus hamba-Nya ke dalam dua kelompok itu, nescaya seseorang takkan meremehkan salah satu dari keduanya. Abu Yazid berkata: “Allah memandang hati para wali-Nya. Ketika ada sebahagian daripada mereka tidak layak menyandang kema’rifatan, Allah mengalihkannya pada ibadah.” (Lihat: Syarh al-Hikam, 1/59).

Hal ini disokong lagi dengan kenyataan oleh Ibn ‘Ajibah: “Menurutku, hamba Allah yang khusus mendapat inayah dari-Nya terdiri atas dua kelompok...tetapi hikmah di sebalik penempatan sekelompok untuk khidmat kepada-Nya, adalah penghormatan kepada mereka secara umum. Hal ini tidak secara terus menafikan kelebihan ahli ma’rifat dan para pecinta di atas kalangan ahli ibadah dan ahli zuhud. Cuba perhatikan firman Allah setelah itu, “Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.” Ayat ini menunjukkan keutamaan sebahagian kelompok atas kelompok selainnya. Pun begitu, secara umum semua hamba Allah itu mulia. Allah tidak meremehkan hamba-Nya dari kelompok mana saja sekalipun darjat mereka berbeda di sisi-Nya. Wallahua‘lam.” (Lihat: Iqaz al-Himam fi Syarh al-Hikam, 1/108-109)

Ingatan Para Ulama’ Sufi Untuk Tidak Memisahkan Hakikat, Ma’rifat dan Syariat

Kami lampirkan di sini beberapa pesanan ulama’ Sufi yang muktabar berhubung kewajipan untuk terikat dengan syariat walaupun sudah mencapai ma’rifatullah.

Abu Yazid al-Bustami pernah berkata kepada beberapa sahabatnya: “Berdirinya brsama-sama kami sehingga kami melihat orang yang memperkenalkan dirinya sebagai wali. Dia terkenal sebagai seorang yang zuhud.” Lalu mereka pergi kepada orang tersebut. Ketika dia keluar daripada rumahnya, lalu memasuki masjid, dia meludah ke arah kiblat. Maka Abu Yazid al-Bustami meninggalkannya tanpa bersalam dengannya. Beliau berkata: “Ini sungguh tidak sesuai dengan adab Rasulullah SAW. Lalu bagaimana dia boleh dipercayai dalam hal yang dia dakwa?” (Lihat: al-Risalah al-Qusyairiyyah, m. 16)

Beliau juga diriwayatkan pernah berpesan: “Jika engkau melihat seseorang yang diberi karamah sampai dia boleh terbang di udara, maka janganlah engkau terpedaya olehnya sehingga engkau melihat bagaimana dia melaksanakan perintah Allah, menjauhi larangan-Nya, memelihara peraturan dan melaksanakan syariat.” (Lihat: Qawa’id al-Tasawwuf, m. 76)

Syeikh Ahmad Zarruq berkata: “Setiap Syeikh yang belum melaksanakan Sunnah, maka dia tidak boleh diikuti. Ini kerana keadaannya belum jelas. Sekalipun dia benar dalam ucapannya dan terlihat ribuan karamah pada dirinya.” (Lihat: Iqaz al-Himam fi Syarh al-Hikam, 1/76)

Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jilani mengkritik orang yang berpendapat bahawa melaksanakan syariat tidak wajib bagi salik yang sudah mencapai maqam tertentu. Katanya: “Meninggalkan ibadah yang wajib adalah sifat zindiq. Melakukan perkara yang dilarang adalah maksiat. Apa yang wajib tidak pernah berubah dalam apa jua keadaan sekalipun.” (Lihat: Tabaqat al-Sufiyyah, m. 159)

Kata Junaid al-Baghdadi: “Mazhab kita ini terikat dengan dasar al-Quran dan al-Sunnah.” (Lihat: al-Risalah al-Qusyairiyyah, m. 22). Beliau juga diriwayatkan pernah berkata: “Semua jalan tertutup bagi makhluk, kecuali bagi orang yang mengikuti Rasulullah SAW, meneladani sunnahnya dan berpegang teguh kepada jalannya. Semua pintu kebaikan akan terbuka kepadanya.” (Lihat: Tabaqat al-Sufiyyah, m. 158).

Kesimpulan

Seorang salik yang sudah mencapai ma’rifatullah, tetap tidak terlepas daripada kewajipan melaksanakan syariat-Nya. Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh para ulama’ Sufi yang muktabar. Sebarang usaha untuk melepaskan diri daripada syariat-Nya adalah sia-sia kerana kita tetap berada di bawah qabdhah, qudrah dan iradah-Nya.

Walaupun aqidah Ahli Sunnah wal Jama’ah menekankan sebab dan akibat, begitu juga kepada musabbib al-asbab iaitu Allah SWT, ia tetap tidak menafikan hak-Nya ke atas manusia. Itulah sifat insan yang diistilah oleh Imam Fakhr al-Din al-Razi dengan katanya:

إن الإنسان مجبور في صورة مختار
“Sesungguhnya manusia itu adalah terpaksa dalam keadaan mempunyai pilihan.”

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media