SOALAN:
Saya ada terdengar bahawa azan disunatkan pada beberapa keadaan selain daripada dilaungkan untuk menyeru solat berjemaah. Boleh saya tahu, bilakah kita disunatkan azan selain daripada azan di masjid dan surau yang biasa kita dengar tersebut?
JAWAPAN:
Allah SWT mensyariatkan laungan azan bagi menyeru umat Islam untuk mengerjakan solat berjemaah di masjid. Hukumnya adalah sunat muakkad bagi solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu. (Rujuk: al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 229)
Ia disyariatkan pada tahun pertama hijrah. Ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Umar R.A katanya: “Ketika orang Islam sampai di Madinah mereka berkumpul dan menantikan waktu bersolat. Tidak ada cara yang diserukan bagi solat tersebut. Suatu hari mereka berbincang tentang perkara itu. Sebahagian daripada mereka mencadangkan loceng digunakan sepertimana loceng orang Nasrani, dan sebahagian yang lain pula mengatakan serunai digunakan seperti terompet tanduk yang digunakan oleh orang Yahudi.” Umar R.A pula berkata: “Kenapakah kamu tidak menyuruh seseorang menyerukan solat? Lalu Rasulullah SAW bersabda:
يَا بِلَالُ قُمْ فَنَادِ بِالصَّلَاةِ
“Wahai Bilal, berdirilah dan serukan solat.” [Riwayat al-Bukhari (579) dan Muslim (377)]
Azan untuk solat disunatkan juga diikuti selepasnya dengan iqamat sebelum didirikan solat. Antara tujuan disyariatkan azan untuk solat ialah:
- Memberitahu telah masuknya waktu solat.
- Seruan untuk didirikan solat secara berjemaah.
- Memberitahu tempat didirikan solat berjemaah.
- Menzahirkan syiar Islam di tempat tersebut.
(Rujuk: al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, 228)
Terdapat beberapa jenis solat yang disunatkan untuk iqamat dan azan. Syeikh Hasan al-Kaff telah membahagikan mengikut pembahagian sama ada disunatkan azan dan iqamat, disunatkan iqamat sahaja atau disunatkan azan sahaja, dan juga tidak disunatkan azan dan iqamat seperti berikut:
- Disunatkan azan dan iqamat: Solat wajib yang lima dan solat Jumaat.
- Disunatkan iqamat sahaja dan tidak azan: Jika sekiranya dilakukan solat Jamak atau menqadha solat fardhu secara berturut-turut, maka diazankan bagi solat yang pertama dan iqamat pada solat yang kedua.
- Disunatkan seruan sahaja, tidak azan dan iqamat: Solat-solat sunat yang digalakkan untuk berjemaah seperti solat Hari Raya, solat sunat gerhana, dan diseru bagin solat Hari Raya contohnya dengan sebutan: “صلاةُ العَيْدِ رَحِمَكًم الله”.
- Tidak disunatkan azan, iqamat dan seruan juga: Solat-solat sunat yang tidak disyariatkan untuk dilakukan secara berjemaah seperti solat sunat Dhuha dan solat sunat Rawatib.
(Rujuk: al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 228-229)
Selain itu, disunatkan juga azan dan iqamat juga pada beberapa ketika dan keadaan di luar solat. Antaranya:
- Disunatkan azan: Dalam keadaan sedih, pergaduhan, marah, kepada sesiapa tidak terkawal perilakunya sama ada manusia atau haiwan, ketika kebakaran dan ketika dirasuk oleh jin.
- Disunatkan azan dan iqamat: Di telinga bayi yang baru lahir, menghantar orang yang akan bermusafir dan ketika menurunkan mayat ke dalam kubur.
(Rujuk: al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 229)
Kesimpulan
Kesimpulannya, kami menyatakan bahawa jenis solat yang disunatkan untuk dilaungkan azan dan iqamat ialah solat fardhu lima waktu, solat Jumaat, solat jamak dan solat qadha yang yang dilakukan secara berturutan. Adapun solat-solat lain secara berjemaah seperti solat sunat Hari Raya dan solat sunat gerhana, maka disunatkan seruan sahaja.
Manakala azan yang disunatkan di luar solat, antaranya ialah ketika keadaan sedih, pergaduhan, marah, diazankan kepada sesiapa tidak terkawal perilakunya sama ada manusia atau haiwan, ketika kebakaran dan ketika dirasuk oleh jin. Disamping itu juga, disunatkan azan dan iqamat, antaranya ialah di telinga bayi yang baru lahir, ketika menghantar orang yang akan bermusafir dan ketika menurunkan mayat ke dalam kubur.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media