Desas-desus berhubung kemungkinan pensejajaran semula politik yang menggemparkan negara semalam masih belum berakhir dan ia dijangka berterusan hari ini.
Ini berikutan beberapa program yang dijadual berlangsung hari ini.
Antaranya Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suaminya Anwar Ibrahim dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada jam 2 petang.
Selain itu, DAP - satu daripada parti komponen dalam gabungan PH - juga dilaporkan akan mengadakan mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti berkenaan di ibu negara.
Semalam, beberapa pemimpin utama pelbagai parti politik kerajaan dan pembangkang hadir dalam satu mesyuarat khas dan tertutup di sebuah hotel di Petaling Jaya, mencetuskan tanda tanya tentang tujuan mesyuarat itu diadakan.
Sebelum itu, beberapa mesyuarat berasingan melibatkan beberapa parti politik di tengah-tengah desas-desus berhubung kemungkinan pensejajaran semula landskap politik negara.
Pemimpin parti mengunci mulut mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tertutup, di ibu negara dan Petaling Jaya yang menarik perhatian media.
Terdahulu semalam, Umno mengadakan mesyuarat majlis tertinggi khas selama dua jam, mulai 4 petang, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Bersatu juga mengadakan mesyuarat khas di ibu pejabat parti di Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya, dipengerusikan Dr Mahathir Mohamad, yang kemudian enggan mengulas apa-apa semasa diserbu media ketika meninggalkan premis itu.
Beberapa ahli parlimen dari parti politik di Sabah dan Sarawak juga mengadakan mesyuarat di ibu negara.
Suasana di Istana Negara juga sibuk dengan banyak kenderaan dilihat memasuki istana sejak 5.30 petang, sesetengahnya diiringi polis. Kenderaan berkenaan dilihat meninggalkan istana dua jam kemudian.
Anwar dalam satu majlis di kediamannya di Bukit Segambut malam tadi berkata pihaknya sedang menunggu maklumat mengenai apa yang beliau anggap sebagai satu percubaan menubuhkan sebuah kerajaan baru.
Sumber: Bernama
Sumber : thereporter.my