SOALAN:
Adakah nama-nama Allah hanya 99 nama?
JAWAPAN:
Pada asasnya, nama-nama Allah SWT hanya diketahui melalui apa yang dikhabarkan oleh-Nya sendiri di dalam al-Quran atau melalui lisan Rasul-Nya. Nama-nama tersebut adalah bersifat tauqifiyyah.
Imam al-Nawawi menyebut: “Sesungguhnya nama-nama Allah itu bersifat tauqifiyyah, iaitu tidak boleh ditetapkan kecuali berdasarkan dalil-dalil sahih.” (Lihat: al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 7/188)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, di mana Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلا وَاحِدًا مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ
“Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama, seratus kurang satu. Sesiapa yang menghitungnya, dia masuk syurga.” [Riwayat al-Bukhari (2736) dan Muslim (2677)]
Namun begitu, hadith ini tidaklah memaksudkan bahawa nama Allah SWT terhad kepada 99 nama sahaja. Imam al-Nawawi menjelaskan: “Ulama' bersepakat bahawa hadith ini tidak menunjukkan batasan jumlah nama-nama Allah. Tidaklah hadith ini bermaksud: Bahawa tiada nama lain selain daripada 99 nama ini. Sesungguhnya maksud hadith ini ialah jika seseorang melakukan ihsa’ (beriman, meyakini dan beramal) dengan 99 nama ini, maka dia akan masuk syurga.” (Lihat: al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 9/39)
Berkenaan makna ‘أَحْصَاهَا’, secara ringkasnya, kami berpendapat ia dengan maksud beriman dan meyakini serta beramal.
Sesungguhnya nama-nama Allah SWT tidaklah terbatas bilangannya. Terdapat nama-nama yang Dia rahsiakan dalam ilmu ghaib-Nya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah apa-apa masalah atau kesedihan menimpa seseorang, lalu orang itu membaca:
اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَابْنُ عَبْدِكَ ، وَابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي ، وَجِلَاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي ،
Ya Allah, sesungguhnya aku hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atasku dalam keputusan-Mu, aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, (aku memohon kepada-Mu) untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku, cahaya di dadaku, penghilang kesedihanku, penghapus kesusahanku.
(Apabila seseorang membaca seperti ini) pasti Allah akan menghapuskan kesusahan dan kesedihannya, dan menjadikan untuknya jalan keluar.” Abdullah bin Mas’ud R.A bertanya: “Ya Rasulullah, perlukah aku mempelajari doa ini?” Baginda SAW menjawab: “Sudah pasti, sesiapa yang mendengarnya perlu mempelajarinya.” [Riwayat Ahmad (3583)]
Imam al-Khattabi dan selainnya berkata: “Ini menunjukkan bahawa Dia memiliki nama-nama yang Dia rahsiakan. Hal tersebut menunjukkan bahawa sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama, siapa yang membacanya masuk syurga”; bahawa Allah SWT memiliki 99 nama yang apabila ada seseorang yang mengamalkannya, maka dia akan masuk syurga. Sebagaimana seseorang berkata: “Saya memiliki wang seribu dirham yang saya sediakan untuk sedekah”, sedangkan wangnya lebih banyak daripada itu. Dan Allah SWT dalam Al-Quran berfirman, “وَلِلَّهِ الأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا” (Dan Allah memiliki nama-nama yang agung, maka berdoalah dengannya). Dia memerintahkan agar berdoa dengan nama-namanya yang mulia secara mutlak. Dia tidak mengatakan bahawa namanya cuma 99 nama.” (Dinukilkan dari kitab Majmu’ al-Fatawa, 22/282)
Ibn Qayyim pula menjelaskan: “Nama-nama Allah yang indah tidaklah terbatas bilangannya. Sesungguhnya Allah memiliki nama dan sifat yang Dia rahsiakan dalam ilmu ghaib-Nya. Malaikat yang rapat dengan-Nya pun tidak mengetahui, tidak juga para Nabi yang diutuskan, sebagaimana dalam hadith (riwayat Ahmad di atas). Dia telah menjadikan namanya kepada tiga bahagian:
- Nama yang Dia berikan kepada diri-Nya dan Dia menzahirkan hal itu kepada sesiapa yang Dia kehendaki daripada malaikat-Nya, dan selain mereka tetapi Dia tidak menyatakannya di dalam kitab-Nya.
- Nama yang Dia turunkan dalam kitab-Nya untuk mengenalkan-Nya kepada hamba-hamba-Nya, dan;
- Nama-nama yang Dia rahsiakan pada ilmu ghaib-Nya dan tidak diketahui oleh satu makhluk pun.
(Lihat: Badai’ al-Fawa’id, hlm. 176)
Oleh itu, daripada nas dan kenyataan di atas, jelas bahawa nama Allah SWT tidaklah terbatas kepada 99 nama tersebut sahaja. Sesungguhnya nama-nama Allah SWT amat tidak terbatas bilangannya.
Terdapat nama-nama yang Allah SWT zahirkan sehingga boleh diketahui, dan terdapat pula nama-nama lain yang Dia tidak nyatakan dan dirahsiakan pada ilmu ghaib-Nya sehingga mahkluk-makhluk tidak mengetahuinya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman dalam mengamalkan segala titah perintah-Nya. Amin.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media