'Takkan nak pakai Viva belaka (semua) menteri?' - Timb MB kelantan pertahan kerajaan negeri beli 14 buah Mercedes Benz


Kerajaan negeri Kelantan pada 15 Januari 2020 mengesahkan pihaknya membeli kereta Mercedes Benz S 450 L AMG Line dengan plat pendaftaran DV1 sebagai kenderaan rasmi baharu untuk kegunaan Menteri Besar, Ahmad Yakob dan ia dibeli sejak tahun 2019.

Terdahulu, viral di media sosial gambar kereta tersebut yang mengundang pelbagai reaksi netizen yang mempersoalkan Kerajaan Negeri Kelantan membeli kereta itu pada harga lebih RM600,000. 

Pemimpin Amanah, Husam Musa, kemudian menuntut penjelasan dari kerajaan negeri mengenai pembelian kereta itu sama ada dibeli menggunakan wang bayaran tunai petroleum yang disalur oleh kerajaan pusat atau menggunakan sumber lain. 

25 Disember 2019, Kelantan menerima bantuan 'one-off' berjumlah RM400 juta dari kerajaan pusat untuk kegunaan meningkatkan sosio-ekonomi, kesejahteraan rakyat dan mengukuhkan fiskal kewangan negeri. 

Pejabat Menteri Besar Kelantan kemudian tampil memberi penjelasan berikut: 

"...kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menggantikan kenderaan yagn digunakan sejak lebih 10 tahun itu dengan mengekalkan nombor pendaftaran asal iaitu DV 1 di kenderaan rasmi baru yang mana telah mendapat ampun perkenan Tuanku," kata kenytaan itu. 

Turut tampil memberi penjelasan, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah yang mendedahkan kereta Mercedes Benz itu turut dibeli untuk kegunaan barisan exco dan setiausaha kerajaan negeri dengan jumlah sebanyak 14 buah. 

"Ya, memang semua exco, menteri besar dan saya sendiri kini menggunakan kereta Mercedes Benz sebagai kenderaan rasmi. Namun kapasiti enjin yang berlainan. 

"Kita beli kereta baru memandangkan kebanyakan kereta sudah digunakan lebih 10 tahun dengan ada exco yang berhenti selepas pilihan raya umum (PRU) membeli kenderaan rasmi yang mereka gunakan," katanya. 

Tambahnya lagi, pembelian kereta mewah itu dibuat untuk mementingkan keselamatan dan kos penyelenggaraannya lebih jimat berbanding kereta lama jenis Proton Perdana yang digunakan. 

Namun Mohd Amar tidak mengetahui harga sebuah kereta mewah itu kerana ia diuruskan oleh bahagian kewangan. Beliau hanya tahu kerajaan mendapat diskaun hampir 50 peratus. 

Katanya, semasa Kelantan di bawah pentadbiran Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar negeri itu sudah menggunakan kereta jenama mewah itu. Jadi, adalah tidak wajar penggunaan kenderaan mewah itu dikecoh-kecohkan. 

"Takkan nak pakai Viva belaka (semua) menteri?" katanya yang juga menjadikan Rasullah sebagai contoh di mana Rasullah menggunakan unta yang hebat semasa menjadi pemimpin dulu, dikenali sebagai al-Qaswa, yang dianggap paling hebat, paling mahal dan paling laju pada zaman tersebut. 

"Kena paham, kena reti barang-barang lagu tu, bukan nak beragah (menunjuk/sombong), bukan nak mewah. Demo (kamu) kalau ada pitih (duit) tak nak pakai Merc? Tak nak pakai Merc ke? Sama saja, bukan nak mewah. Ini hak milik kerajaan, kena fahamlah," katanya. 

Bagaimanapun, netizen menunjukkan reaksi kurang senang dengan kenyataan itu. 





Sumber: MalaysiaKini


Sumber : thereporter.my