Sudah ada gambaran kesebelasan utama - Nafuzi Zain


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengesahkan sudah mempunyai gambaran awal kesebelasan utama yang bakal membawa cabaran skuad Penyu mengharungi kempen Liga Super bermula 29 Februari ini.

Bagaimanapun Nafuzi berkata, beliau memerlukan sedikit masa lagi bagi menguji pemain sebelum dapat menentukan barisan utama skuad melalui beberapa siri perlawanan persahabatan pramusim.

"Kesebelasan utama pemain saya akan tentukan pada akhir Februari ini iaitu selepas tiga atau empat lagi perlawanan persahabatan.

"Kita akan guna platform ini (perlawanan persahabatan) untuk cari kelemahan, keserasian dan menilai prestasi pemain sebelum dapat tentukan barisan utama pasukan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Indonesia, Madura United, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Pada perlawanan itu, TFC yang menamatkan saingan Liga Super musim lalu pada tangga ketujuh berjaya menewaskan Madura United 2-0.

Mengenai prestasi anak buahnya setakat ini, Nafuzi berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan skuad yang ada tetapi tidak menolak kemungkinan akan berlaku perubahan atau penambahbaikan sekiranya diperlukan.

Beliau berkata, proses penilaian pemain akan berjalan sepanjang masa termasuk pemain muda yang memiliki kualiti dan potensi sebagai pemain masa hadapan negeri Terengganu.

"Setakat ini, 90 peratus skuad pemain sudah lengkap. Tetapi saya akan kaji dan nilai balik prestasi pemain sebelum tarikh tutup pendaftaran Mac hadapan.

"Untuk pemain muda, mereka telah mempamerkan kualiti permainan yang baik dan ia menjadi tanggungjawab saya untuk bentuk serta bantu kembangkan lagi potensi mereka," katanya yang akan berlepas ke Bangkok pada 28 Januari ini untuk perlawanan persahabatan dengan tiga kelab di sana.

Sementara itu, pengendali Madura United, Rahmad Darmawan berkata TFC mampu melangkah lebih jauh dengan barisan pemain yang ada pada masa ini.

"Selain sentuhan pemain import, skuad Penyu turut diperkuat dengan ramai pemain tempatan yang berkualiti seperti Mohd Kamal Azizi Mohd Zabri, Muhd Azalinullah Mohd Alias dan Arif Fadzillah Abu Bakar yang pernah dibimbingnya ketika menerajui pasukan T-Team pada 2016 hingga 2017," katanya. - Bernama