Stuart Wark berjaya pikat Nafuzi Zain


Terengganu FC (TFC) bakal mendapatkan khidmat pemain naturalisasi pertamanya selepas kelibat Stuart Wark berjaya memikat hati pengendali, Mohd Nafuzi Zain.

Nafuzi berkata prestasi pemain kelahiran Scotland berdarah Malaysia itu sedang dinilai barisan kejurulatihan TFC selepas menyertai sesi pemilihan sejak minggu lalu.

Mengulas peluang Wark, 30, menyarung jersi hitam putih pada musim baru ini, Nafuzi mengakui TFC akan mendapatkan tandatangan bekas tonggak PDRM itu dalam masa 'sehari dua'.

Selain menyifatkan pemain tengah itu seorang yang versatil, jurulatih meningkat naik itu menjelaskan Wark memberikan impak positif, khususnya kepada barisan muda Sang Penyu.

"Beberapa hari lagi, kami akan buat keputusan dan berkemungkinan besar dia (Wark) ada peluang untuk bersama TFC.

"Dia pemain yang serba boleh dan mampu beraksi di semua posisi.

"Jadi, itu memberikan kelebihan serta bonus kepada pasukan saya," tambahnya yang ditemui selepas TFC mengalahkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam aksi pemanas badan malam tadi.

Pernah bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Sabah, Felda United dan Pulau Pinang, Wark beraksi di posisi bek tengah dalam perlawanan itu sebelum dikeluarkan ketika separuh masa. - Astro Arena