Solat Istikharah Sebelum Buat Perkara Haram?


SOALAN:
Saya ada satu soalan berkenaan solat istikharah. Yang saya belajar solat istikharah ini kita lakukan jika ingin membuat pilihan atau ingin memohon petunjuk setelah melakukan suatu perkara. Soalan saya di sini, adakah boleh melakukan solat istikharah untuk perkara-perkara yang haram? Seperti contoh seorang yang ingin merompak atau mencuri dia buat solat istikharah sebelum buat perkara tersebut. Sebab saya lihat ada kesalahfahaman berkenaan perkara ini.

JAWAPAN:
Solat istikharah adalah salah satu solat sunat yang dituntut sebagai satu cara memohon agar Allah memberikan petunjuk dan jalan terbaik dalam apa jua pilihan dan pekerjaan yang dilakukan. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Jabir Bin Abdullah. Beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَاصْرِفْهُ عَنِّي ، وَاصْرِفْنِي عَنْهُ ، وَاقْدُرْ لِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ، ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ ، قَالَ : وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ
“Rasulullah saw pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarkan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda: “Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu. Kemudian katakanlah: Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku; ataupun Nabi bersabda: sama ada perkara yang segera atau yang lambat, maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut. Jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku; ataupun Baginda bersabda: sama ada yang segera atau yang lambat, maka jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya.” Kemudian Baginda bersabda: “Orang itu (boleh) menyatakan hajatnya.” [Riwayat al-Tirmidzi (480), Ibnu Majah (1383), Imam al-Tirmidzi menyatakan bahawa hadith ini bertaraf hasan sahih gharib]

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, solat istikharah disunatkan untuk dilakukan pada perkara yang harus. Seperti memilih pasangan hidup, ibu bapa yang ingin menerima calon menantu, bermusafir dan sebagainya. Ianya dilakukan agar Allah memberikan jalan terbaik dan petunjuk untuk melakukan perkara tersebut. Adapun perkara yang jelas pengharaman atau kewajipannya tidak boleh untuk dilakukan solat istikharah.

Sheikh Syamsul Haq ‘Azim Al-‘Abbadi menyebut bahawa maksud daripada istikharah itu sendiri meminta dipermudahkan dan diberi kebaikan pada dua perkara kebaikan. Sama ada terus melakukannya atau meninggalkannya. (Rujuk: ‘Aun Al-Ma’bud Bi Syarh Sunan Abi Daud, 25/448).

Imam Badruddin Al-‘Aini menyatakan bahawa makna istikharah itu ialah meminta kebaikan. (Rujuk: ‘Umdah Al-Qari Syarh Sahih Al-Bukhari, 23/11)

Ini membawa maksud bahawa solat istikharah dilakukan untuk perkara-perkara yang harus bukannya perkara yang haram. Bagaimana mungkin adanya kebaikan di dalam perkara yang diharamkan oleh Allah. Hal ini jelas dilihat melalui sebahagian doa istikharah yang diajarkan oleh Nabi SAW:

اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ
“Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku; ataupun Nabi bersabda: sama ada perkara yang segera atau yang lambat, maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut.”

Sudah pasti doa ini adalah meminta agar diberikan petunjuk dan jalan terbaik pada perkara-perkara yang harus. Perkara yang haram tiada kebaikan padanya bahkan ianya akan mengundang kemurkaan Allah jika dilakukan.

Sheikh Abdurrahman Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyebut solat istikharah dan doanya disunatkan di dalam perkara yang mana seseorang tidak tahu mana satu yang benar. Adapun yang sudah diketahui kebaikannya seperti ibadah dan perbuatan yang baik serta perkara yang haram maka tiada keperluan untuk melakukan solat istikharah padanya. (Rujuk: Tuhfah Al-Ahwazi Bi Syarh Jami’ Al-Tirmizi, 2/591)

Kesimpulan

Tidak boleh untuk melakukan istikharah untuk perkara yang haram seperti berbuat zalim, mencuri dan lain-lain perkara yang diharamkan. Ini kerana solat istikharah dilakukan untuk meminta kebaikan dan jalan yang terbaik di dalam apa jua perkara yang harus. Adapun perkara yang haram ianya hanya mengundang kemurkaan Allah jika dilakukan.

Semoga Allah memberikan kebaikan dan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media